Malaysia Dateline

Lulus belanjawan tambahan tanpa Parlimen perbuatan tidak beretika

Cubaan kerajaan Perikatan Nasional mahu meluluskan belanjawan tambahan tanpa penelitian oleh Parlimen atas alasan darurat tidak beretika dan tidak bertanggungjawab, demikian menurut Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar, perbuatan itu akan menjejaskan reputasi negara sekali gus akan menghakis keyakinan pelabur terhadap ekonomi di negara ini.

“Saya menentang langkah ini. Saya merasakan ia cukup tidak beretika dan tidak bertanggungjawab,” tegas Anwar dalam kenyataannya.

Katanya, pengisytiharan darurat digunakan untuk menggugat masyarakat madani dengan menekan kebebasan bersuara dan menjarah kantung negara.

“Tidak ada sebarang sebab untuk pemerintah ini bertindak sebegini,” katanya lagi.

Justeru, beliau sekali lagi menggesa agar Parlimen mesti dibuka dan Ahli-ahli Parlimen wajar dibenarkan menjalankan tanggungjawab mereka bagi mengelak demokrasi negara ini terus diinjak.

Belanjawan 2021 telah diluluskan kurang dari empat bulan dulu yang telah memperuntukkan dana yang cukup bagi menghadapi COVID-19.

“Sebarang dana tambahan akan diluluskan oleh Parlimen dengan majoriti yang jelas, dan berkemungkinan akan mendapat dukungan kedua-dua belah pihak sekiranya ia munasabah,” kata beliau.

Hari ini, Perbendaharaan Malaysia, menteri besar atau ketua menteri boleh menambah perbelanjaan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan masing-masing tanpa kelulusan wakil rakyat.

Perkara ini digariskan dalam ordinan yang dikeluarkan hari ini. Ia memperkenalkan dua seksyen baru, iaitu Seksyen 10a dan 10b dalam Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

Ordinan baru ini juga menggantung Perenggan 4(b) Akta Pendanaan Kerajaan 1983 dan Perenggan 2(2)(b) Akta Bil Perbendaharaan (Tempatan) 1946, yang berkaitan kuasa Dewan Rakyat berhubung soal kewangan.