Malaysia Dateline

Lulus lawatan ke pejabat DAP, pensyarah UiTM dipaksa letak jawatan?

Tindakan memaksa seorang pensyarah UiTM meletakkan jawatan kerana meluluskan lawatan sambil belajar ke Ibu Pejabat DAP amat dikesali, demikian menurut Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng.

Katanya, perbuatan itu membelakangi hak kebebasan berakademik yang sepatutnya wujud di institusi pendidikan tinggi diperjuangkan bagi mengembangkan minda pelajar sekaligus memberikan mereka pendedahan terhadap naratif-naratif politik yang wujud di Malaysia.

“Akses kepada pihak pembangkang juga tidak boleh disekat kerana institusi pendidikan tinggi di Malaysia seharusnya menghormati pendirian politik para pelajar.

“Sewaktu Pakatan Harapan menjadi kerajaan, kebebasan akademik diangkat dan telah melakar sejarah baru dengan membenarkan pihak pembangkang pada waktu itu untuk menjalankan aktiviti politik mereka di kawasan kampus institusi pendidikan tinggi.

“Perkara seperti ini sewajarnya diteruskan kerana ia mengajar generasi muda kita untuk menilai dengan sendiri landskap politik di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Bahkan katanya, tindakan pihak universiti itu juga menunjukkan institusi tersebut masih berada di takuk lama dan tidak boleh menerima perbezaan politik.

Parti DAP adalah sebuah parti politik yang diluluskan dan dibenarkan untuk menjalankan aktiviti politik di bawah kawal selia Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

Parti DAP adalah sebuah parti yang kaya dengan sejarah kerana parti ini sudah beroperasi selama 55 tahun lamanya.

Wakil-wakil dari parti ini juga pernah menjadi sebahagian dari kerajaan. Kebanyakkan daripada mereka memegang jawatan yang bukan calang-calang.

Jawatan disandang antaranya adalah menteri, timbalan menteri, ahli parlimen, ketua menteri, exco negeri, ahli dewan undangan negeri dan ahli majlis.

“Diharapkan pensyarah tersebut tidak dikenakan sebarang tindakan dan sama-sama kita memperkasakan kebebasan berakademik di Malaysia.

“Harus kita ingat, institusi pendidikan tinggi adalah tempat untuk membentuk jati diri pelajar supaya lebih utuh dan teguh,” kata beliau.