Luluskan undang-undang anti lompat parti sebelum PRN Melaka

Oleh NASUHA RAHMAN

Kejatuhan Kerajaan Negeri Melaka menunjukkan keperluan untuk akta anti lompat parti diluluskan segera pada persidangan Parlimen akan datang, kata Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.

Menurutnya tanpa undang-undang itu, pilihan raya yang bakal berlangsung hanya akan membawa kepada lebih banyak lompatan parti.

“Akta anti-lompat parti ini harus diluluskan di sidang parlimen yang akan datang, sebagaimana yang telah dipersetujui di dalam MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

“Tindakan melompat parti menyebabkan orang ramai hilang percaya terhadap sistem politik negara.

“Tindakan sedemikian menyampaikan mesej yang salah kepada jutaan pengundi muda yang akan mengundi untuk kali pertama dalam pilihan raya yang akan datang.

“Saya percaya bahawa ramai rakyat Malaysia yang sudah penat dan muak dengan permainan politik sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh itu, beliau sekali lagi menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak bersetuju dengan sebarang bentuk tindakan melompat parti oleh mana-mana wakil rakyat, sama ada secara langsung atau tidak langsung, demi kepentingan politik sendiri.

Tambahnya lagi, negara sedang dalam proses pemulihan dari pandemik Covid-19 dan Pilihan Raya Negeri berkemungkinan besar akan mengganggu proses pemulihan negara.