Lumpuh tidak halang dua graduan UTP genggam ijazah

Lumpuh tidak halang dua graduan UTP genggam ijazah

Biarpun pergerakannya terbatas dan memerlukan pertolongan dalam menguruskan kehidupan seha­rian, Mohamad Firdaus Abdul Hamid berjaya menggenggam segulung ijazah seperti insan normal yang lain.

Mohamad Firdaus, 26, yang menghidap strok dan lumpuh sebelah kiri badan sejak 2015 berkata walaupun berdepan pelbagai kesukaran melakukan pelbagai tugasan harian, beliau tidak pernah berputus asa malah sering mendapat bantuan daripada pensyarah dan rakan-rakan sekuliah.

Anak tunggal yang berasal dari Segamat, Johor itu hari ini berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia sempena Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Petronas (UTP) kali ke-18 di Dewan Canselor di sini hari ini.

“Saya terkena serangan strok semasa menunggu bas di Terminal Amanjaya di Ipoh pada Januari 2015 dan ketika itu saya berada pada tahun akhir pengajian.

“Akibat kejadian itu, saya terpaksa menangguhkan pengajian selama tiga tahun dan menyambung semula pada Januari tahun ini,” katanya ketika ditemui pemberita.

Mohamad Firdaus berkata pihak UTP telah membenarkan ibunya, Salasiah Abu Bakar, 53, tinggal bersamanya di kolej kediaman universiti berkenaan bagi membantu Mohamad Firdaus menjalankan tugasan harian.

“Saya terhutang budi dengan ibu saya yang sanggup bersusah payah membantu saya selepas saya ditimpa musibah dan ibu saya sanggup mengambil lesen memandu semata-mata untuk menghantar saya ke kuliah setiap hari,” katanya yang menerima biasiswa penuh dari Petronas.

Sementara itu, Mohammad Aiman Haikal Roslan, 23, yang lumpuh dari paras pinggang ke bawah yang turut menerima Ijazah Sarjana Muda dalam bidang yang sama mengalami kemalangan jalan raya di sini pada September 2014.

Anak sulung dari lima beradik itu berkata beliau tidak pernah menjadikan kekurangan diri sebagai alasan untuk bersaing dengan mereka yang normal.

“Ibu bapa saya sentiasa memberi kata-kata sokongan kepada saya untuk meneruskan pengajian sebagai jaminan masa hadapan selain rakan-rakan yang sering membantu saya seperti mengangkat saya menaiki tangga,” katanya yang berasal dari Alor Setar, Kedah.

Dalam pada itu, Ahmad Farhan Ahmad Azhar, 23, yang turut menerima Ijazah Sarjana Muda dalam bidang yang sama tidak sempat menerima ijazah berkenaan apabila meninggal dunia pada 15 Sept lepas kerana menghidap penyakit yang dikenali sebagai ‘arteriovenous malformation’.

Menurut abangnya, Ahmad Redzuan, 24, yang menerima ijazah itu secara anumerta bagi pihak adiknya berkata arwah seorang adik yang berdedikasi dan bermatlamat dalam kehidupannya.

Ahmad Redzuan berkata adiknya, Ahmad Farhan yang juga anak bongsu dari empat beradik itu memulakan kerjayanya sebaik tamat pengajian sebagai jurutera di sebuah syarikat di Melaka.

“Ibu dan ayah saya tidak dapat hadir hari ini kerana masih bersedih dengan pemergian adik saya dan kami sekeluarga redha dengan pemergiannya,” katanya.

— BERNAMA