Lunaskan keperluan nelayan Batu Pahat, kata Adun Senggarang

Lunaskan keperluan nelayan Batu Pahat, kata Adun Senggarang

Pendapatan nelayan semestinya adalah berkenaan dengan hasil laut namun hasil yang dihajatkan oleh nelayan di sekitar kawasan perairan Batu Pahat semakin berkurang.

Perkara itu dijelaskan oleh Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim yang mendapati terdapat rungutan dari nelayan yang meluahkan kepada beliau berkenaan hasil yang mereka perolehi.

Katanya kepada pihak media, pembinaan tukun adalah salah satu jalan penyelesaian bagi menangani isu kekurangan hasil laut yang berlaku di perairan berkenaan.

“Tukun yang sedia ada sudah uzur atau pun sudah tidak berfungsi lagi bagi membiakkan ikan kerana usia tukun berkenaan sudah menjangkau lebih 20 tahun.

“Melalui Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang baru dilantik ini, saya berharap dapatlah dibina tukun yang baru untuk nelayan di kawasan ini mendapatkan hasil ikan yang tinggi.

“Pertemuan dengan pihak nelayan telah dijalankan oleh pihak kami dan kami mendapati pendapatan mereka kian merosot akibat permasalahan tukun yang sudah lama tidak terbina,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, segala kos dan tempat sudah dikenal pasti bagi membina serta meletakkan tukun berkenaan di kawasan yang menjadi punca pendapatan nelayan.

“Persatuan nelayan sudah mengenal pasti lokasi tempat yang akan dipasang tukun dan pihak kami juga mengesyorkan agar tukun tiruan yang akan dibina biarlah dari konkrit batu bukan tayar.

“Selain itu, tukun tersebut juga dapat menghalang bot pukat besar dari memasuki kawasan bot nelayan kecil dan itu juga salah satu faktor pendapatan nelayan bot kecil boleh mendapatkan pendapatan yang baik.

“Saya juga akan membawa suara nelayan ini ke sidang Dun yang akan datang bagi pihak kerajaan negeri mempertimbangkan untuk mengadakan kos bersama LKIM untuk menjayakan pembinaan tukun terbabit,” jelas beliau lagi.

Dalam isu tersebut, nelayan yang terbabit adalah dari Kampung Sungai Ayam, Sungai Punggur dan Sungai Suloh dan ia membabitkan sekitar lebih 100 nelayan pantai di kawasan Batu Pahat.

COMMENTS