Lupakan kekalahan, fokus misi Olimpik – Shamala

Lupakan kekalahan, fokus misi Olimpik – Shamala

Malaysian Tigers perlu melupakan episod duka di Piala Dunia 2018 dan segera bangkit untuk misi memburu slot Sukan Olimpik Toklyo 2020 apabila mula mengorak langkah pada pusingan kelayakan pada April tahun depan.

Naib Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Dr S. Shamala, berkata, skuad negara tetap mempamerkan aksi yang menyakinkan walaupun tersenarai dalam ‘kumpulan maut’ terdiri daripada Belanda, Jerman dan Pakistan.

Skuad kendalian jurulatih baharu, Roelant Oltmans, gagal melangkah ke pusingan kedua apabila menghuni tangga tercorot kumpulan selepas tewas 3-5 kepada Jerman pada aksi terakhir Kumpulan D di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India, malam ini.

Pada kempen Piala Dunia kali ini, Malaysia kalah 0-7 kepada Belanda, seri 1-1 Pakistan sebelum kalah kepada Jerman.

Shamala berkata mereka perlu menerima hakikat dan melihat penyertaan skuad negara pada Piala Dunia sebagai satu pencapaian besar selain menjadi medan untuk mempersiapkan pasukan yang lebih mantap bagi pusingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pasukan Petronas meraih gelaran hatrik Liga Hoki TNB Melaka setelah mengalahkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) 3-2 pada perlawanan final di Stadium Hoki MBMB, Bukit Serindit di sini, malam ini,

Untuk rekod, Malaysia gagal melayakkan diri dalam empat edisi Sukan Olimpik terdahulu dan kali terakhir beraksi di Sukan Olimpik Sydney 2000.

— BERNAMA