Malaysia Dateline

Lupakan pengeluaran KWSP, rakyat cadang lanjut moratorium

Keputusan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertegas untuk tidak membenarkan satu lagi pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2.0 menerima pelbagai reaksi khususnya dari rakyat Malaysia.

Umum mengetahui, sejak diperkenalkan sewaktu pemerintahan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin, insentif ini menjadi pilihan popular di kalangan rakyat yang sentiasa mendesak pemimpin untuk meluluskan pengeluaran.

Hal yang demikian tidak disenangi beberapa pengguna media sosial aplikasi Twitter seperti Md Scid yang bersetuju dengan cadangan Anwar bagi mencari jalan lain seperti melanjutkan moratorium.

“Senang sahaja. Desak Bank Negara Malaysia (BNM) turunkan Jangkaan Kadar Dasar Semalaman (OPR) atau bagi kebenaran untuk moratorium sekali lagi. Ramai dah bergolok gadai dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sampai kini,” cadangnya.

Seorang pengguna bernama Terrence turut berkongsi pendapat yang sama kerana menurutnya, inilah masa yang tepat buat pihak bank untuk menjalankan tanggungjawab sosial terhadap pelanggan yang selama ini sudah menggunakan perkhidmatan mereka.

“Saya bersetuju untuk meminta bank mengurangkan kadar faedah dan moratorium dilanjutkan. Sudah tiba masanya untuk mereka menunjukkan tahap Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang lebih tinggi pada masa yang diperlukan,” katanya.

“Moratorium itu pun ok juga, bagi alternatif la, tapi pihak bank tu mahu ke buat,” senggol pengguna lain.

Perbincangan hangat ini turut mengundang komen sinikal seperti dikongsi Maslina yang meminta mereka yang ingin mengeluarkan KWSP menandatangani perjanjian.

“Kalau saya bagi sahaja, pastu minta yang nak keluarkan tu ‘sign agreement’ jangan meroyan bila pencen, duit tak berapa nak banyak untuk menampung hidup,” katanya.

“Lestari hari tu aku keluar pastu shopping je. Sekarang rasa menyesal gila.

“Banyak tu, kalau simpan mesti lagi meriah akaun KWSP aku.” Kongsi pengguna bernama Julia.

Baca juga: Jururawat diminta bayar RM80 untuk majlis makan malam dengan Pengarah Hospital?