Malaysia Dateline

Lupakan sengketa politik demi Palestin, kata Najib

Ahmad Zahid memperkatakan sesuatu kepada Najib.

Berucap selama 23 minit termasuk diselangi dengan memimpin bacaan doa, Najib Razak menyeru supaya perbalahan politik kepartian dilupakan dalam memperjuangkan hak bangsa Palestin.

“Lupakanlah sengketa politik sesama kita. Tidak kira kita baju hijau, merah, oren.

“Kita jadikan himpunan ini tsunami perpaduan umat Islam,” tegasnya dalam Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis di Masjid Putra, Putrajaya hari ini.

Najib berkata, himpunan bertemakan warna putih itu juga boleh dijadikan pemangkin perpaduan umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia.

“Baitulmaqdis selamanya kita akan pertahankan.

“Saya juga mengimpikan satu hari nanti untuk bersolat di Masjid Al-Aqsa,” katanya.

Presiden Umno itu berkata, umat Islam di seluruh dunia tidak harus kalah pada Zionis Israel yang jumlahnya jauh lebih kecil.

“1.6 bilion (jumlah umat Islam di seluruh dunia) boleh kalah dengan 13 juta (Israel)?” bidasnya.

Beliau berpendapat, umat Islam akan dihina sekiranya tidak bersatu.

“Saya yakin bermula himpunan ini kita menghantar mesej perpaduan yang jelas kepada dunia,” tegasnya.

Terdahulu, pengacara majlis menyebut dua tabung dilancarkan dengan menyatakan anggota Unit Amal iaitu badan kebajikan Pas akan mengutip sumbangan daripada orang ramai.

Doa penutup majlis pula dipimpin oleh Mufti Melaka, Sahibus Samahah Datuk Abd Halim Tawil.

Himpunan kemudiannya berakhir tepat jam 3.09 petang selepas pemimpin-pemimpin politik dan badan NGO menurunkan tandatangan bantahan.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden.

Selain itu, Pengerusi Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), Datuk Dr Nasharudin Mat Isa yang masih berstatus ahli Pas juga hadir.

Beberapa pemimpin Umno turut hadir antaranya Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin serta Ketua Bahagian Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos merangkap Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia.