Lutfi pejuang tegar kebebasan media, kata Dr Syed Husin

Lutfi pejuang tegar kebebasan media, kata Dr Syed Husin

Ahli akademik dan politik veteran, Dr Syed Husin Ali menyifatkan penulis politik, Ahmad Lutfi Othman sebagai seorang yang tegas berprinsip dan tegar dalam perjuangannya menuntut kebebasan media.

Beliau berucap meluncurkan buku memoir Lutfi bertajuk ‘Lorong Sunyi Media Bebas’ di Madrasah Tarbiyah Kampung Bandar Dalam yang juga dikenali sebagai Madrasah Seni, dekat jalan Gombak, Kuala Lumpur, 20 Mei lalu.

Menurut Dr Syed Husin, pada asalnya Lutfi bercadang untuk menulis memoir sebagai wartawan dan penulis, tapi keadaan kesihatannya menghalang.

“Bagaimanapun lebih 50 orang telah menulis bagi pihaknya. Ini membuktikan beliau dihormati oleh ramai rakan penulis.

“Mengapa beliau dihormati? Bagi saya kerana sikapnya,” tambah Dr Syed Husin lagi.

Buku memoir LutfiBeliau turut memetik pandangan Lutfi terhadap kebebasan media dalam wawancara di muka 31 buku ‘Lorong Sunyi Media Bebas’ yang antara lainnya menyebut:

“Selagi nadi berdenyut dan nyawa masih ada, berbuat baiklah sebanyak-banyaknya kepada orang lain, pada masyarakat, pada negara. Teruskan perjuangan membebaskan media, berusaha melakukan reformasi menyeluruh ke atas institusi strategi negara. Cerdikkan akal dan cerdaskan minda masyarakat.”

“Ini adalah inti daripada pemikiran beliau. Dia masih mempertahankan kebebasan media,” ujar Dr Syed Husin lagi.

Beliau menambah, Lutfi pernah mengetuai akhbar Harakah, Cabaran, Siasah, majalah Tamadun, Muslimah dan sebagainya.

Tambahnya, walaupun pepatah Inggeris ada menyebut, ‘batu yang bergolek tidak mengumpul lumut’, namun dalam kes Lutfi batu yang bergolek akan bersinar dan jelas Lutfi memancar serta bergemerlapan sebagai wartawan.

“Tiap-tiap kali berpindah dia bertambah baik. Oleh kerana itulah dia dihormati sebagai wartawan dan penulis. Banyak buku yang ditulisnya,” ujar beliau.

Mengenali Lutfi semasa penulis itu masih di universiti, Dr Syed Husin menyifatkan beliau seorang yang kritikal sejak menjadi pelajar.

“Pandangannya yang kritikal terpancar dalam penulisannya dan akhbar-akhbar yang dipimpinnya,” ujar Dr Syed Husin.

Sementara itu, berucap sebelum bukunya diluncurkan, Lutfi menyifatkan tahap kesedaran masyarakat terhadap isu kebebasan media sebagai rendah dan mengecewakan.

Bekas Pengarang Kumpulan Harakah itu memberi contoh bagaimana tiada respon di kalangan masyarakat apabila kerajaan BN bertindak mengurangkan terbitan Harakah daripada lapan kali kepada dua kali sebulan pada tahun 2000.

“Mereka menerima begitu sahaja. Kita (rakyat) tidak menjadi pengguna yang baik. Kita tidak respon pada tindakan-tindakan zalim kerajaan yang melakukan tangkapan, operasi rampasan (akhbar, buku dan majalah kerana melanggar syarat permit KDN),” katanya kesal.

Beliau turut mengimbau pengalaman pahit sebagai penulis buku politik apabila tiada syarikat yang berminat untuk menerbitkan buku tulisannya kerana takut diambil tindakan.

“Bila nak tulis buku tak ada orang yang nak jadi penerbit. Terpaksa menulis, menyunting dan menjadi penerbit sendiri.

“Apabila dah jadi penerbit, cukup susah untuk mencari pencetak. Tak ada pencetak yang nak jadi pencetak kerana Akta Mesen Cetak akan mengenakan hukuman yang sama terhadap penulis dan penerbit kepada pencetak,” katanya.

Sehubungan itu, terdapat syarikat pencetak yang enggan meletakkan nama pada buku terbitan beliau kerana takut diambil tindakan.

Lutfi juga kesal kerana walaupun kini wujud media sosial, laman portal berita dan sebagainya namun halangan akibat Akta Mesen Cetak tetap sama.

Pada majlis yang sama, diadakan juga acara baca puisi bagi mengenang pejuang kebebasan media, Allahyarham Said Zahari.

Antara yang tampil membacakan sajak ialah Dinsman, Abdul Shukur Harun, Chan YS, Yassin Salleh serta aktivis Kumpulan Media Independen (Kami) dan Seniman Paksi Rakyat (Paksi).

Turut hadir Ahli Parlimen Batu Tian Chua dan aktivis pelajar Adam Adli.

Buku ‘Lorong Sunyi Media Bebas’ boleh diperolehi melalui langganan pos dengan memberikan nama, alamat dan jumlah tempahan ke no. 019-2903291 (Ahmad Luqman Hakim).

Harga bagi buku setebal 811 halaman itu adalah RM40 termasuk pos.

Bayaran perlu dibuat ke akaun Maybank Ahmad Luqman Hakim 162179670906.

Maklumat pembayaran perlu dihantar ke nombor sama bagi diproses.

Lutfi menyampaikan buku tulisannya kepada penulis muda, Lim Hong Siang.

TAGS