Malaysia Dateline

Lutfi terima kunjungan Presiden AMANAH ketika dialisis

Bekas Ketua Pengarang Harakah dan penulis buku politik terkenal tanah air, Ahmad Lutfi Othman petang tadi menerima kunjungan Presiden Parti AMANAH, Haji Mohamad Sabu ketika menjalani rawatan dialisis.

Mohamad Sabu yang lebih dikenali sebagai ‘Abang Mat’ hadir bersama pegawai khas beliau, Azhar Dali kira-kira jam 3.40 petang di Pusat Rawatan Dialisis MAIS di Melawati, tempat Ahmad Lutifi mendapat rawatan berkenaan.

Sejak dua tahun lalu Ahmad Lutfi menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu di pusat berkenaan.

Ketika dihubungi Malaysia Dateline, Ahmad Lutfi memberitahu, dalam kunjungan selama kira-kira 40 minit itu, Abang Mat bertanyakan beliau, selain mengenai perkembangan kesihatan, juga mengenai buku terbaru beliau, yang dalam proses penyiapan.

“Saya telah menemu bual panjang Abang Mat berhubung buku yang sedang saya tulis sekarang, sebelum ini.

“Jadi dalam pertemuan ini, selain untuk mengetahui kesihatan saya, beliau turut memberikan input baru kepada saya mengenai perkembangan semasa.

“Beliau selamanya tidak pernah lokek untuk berkongsi maklumat dan pengetahuan,” kata beliau yang masih lesu selepas rawatan yang berkhir jam 7 petang.

Ahmad Lutfi kini dalam proses menyiapkan buku terbaru beliau yang bertajuk “Parti Amanah Negara: Cabaran, Halangan dan Potensi Sebagai Parti Islam Berpengaruh, Berintegriti.”

Kata Lutfi, dalam kunjungan tersebut Abang Mat memberikan beliau semangat supaya terus menyumbang melalui tulisan menurut kemampuan terutama dalam era kritikal yang dihadapi Malaysia sekarang.