Lynas berpotensi raih manfaat perang dagangan AS-China?

Lynas berpotensi raih manfaat perang dagangan AS-China?

Lynas Corp yang mengendalikan kilang pemprosesan bahan nadir bumi penuh kontroversi di Gebeng, dekat Kuantan, berpotensi muncul sebagai ‘pemenang’ dalam perang perdagangan Amerika Syarikat-China yang terus berlanjutan.

Satu kenyataan oleh kalangan pengeluar nadir bumi China baru-baru ini mengenai kesediaan memanfaatkan dominasi mereka dalam pertikaian dagangan dengan Washington, akan hanya memaksa pelanggan mereka di AS mencari sumber lain bagi mendapatkan mineral berharga itu.

Oleh itu, sebagai pengeluar nadir bumi terbesar di luar China, Lynas Corp dan kilang pemprosesan bernilai US$800 juta (RM3.35 bilion) di Malaysia dilihat dapat meraih pelbagai manfaat sekiranya Beijing memutuskan untuk menjadikan eksport nadir buminya ke AS sebagai satu senjata dagangan.

Malah, syarikat yang disenaraikan di Australia itu juga berkemungkinan besar menyaksikan lonjakan permintaan terhadap produknya jika pengeluar nadir bumi China memutuskan untuk akur kepada sebarang tarif dikenakan Washington kepada pembeli di negara tersebut.

Langkah sedemikian akan meningkatkan harga mineral nadir bumi itu serta produk berkaitannya di AS dan menyebabkan pelanggan terbabit mencari sumber lebih murah selain China.

Justeru, sebarang tindakan ‘menghukum’ atau menghentikan sepenuhnya eksport nadir bumi China ke AS seperti yang dijangkakan ramai pihak apabila pertikaian perdagangan itu terus meruncing, akan turut memaksa para pelanggan AS beralih ke pengeluar lain termasuk Lynas Corp.

“Walaupun perkara ini masih belum jelas, langkah diambil oleh pengeluar (nadir bumi) di China akan menguntungkan Lynas. Mereka (pelanggan nadir bumi China) akan mula mencari pembekal lain,” kata Ketua Pakar Ekonomi ASEAN RHB Research Institute Peck Boon Soon ketika dihubungi Bernama.

Kenyataan oleh Persatuan Industri Nadir Bumi China yang mewakili beratus-ratus pelombong, pemproses dan pengeluar bahan itu 5 Ogos lepas, dikeluarkan selepas susulan paparan nada keras akhbar People’s Daily iaitu lidah rasmi Parti Komunis yang memerintah mengenai kemampuan negara itu melancarkan ‘serangan balas’ dalam perang dagangan itu.

“Apakah nadir bumi akan menjadi senjata perang China untuk membalas tekanan demi tekanan diberikan AS yang dibuat tanpa sebarang alasan? Jawapannya bukanlah satu misteri. Dalam dunia hari ini yang menyaksikan buruh pelbagai industri berbeza terbahagi secara global, tiada sebarang pembangunan dan kemajuan dapat dicapai tanpa kerjasama.”

China adalah pengeluar nadir bumi terbesar dunia dan menyumbang lebih 80 peratus daripada pengeluaran bahan berkenaan di peringkat global.

Sebahagian besar atau kira-kira 80 peratus daripada import bahan nadir bumi di AS adalah bersumberkan China dengan laporan menyatakan antara pelanggan itu termasuk kontraktor utama pertahanan negara tersebut.

Nadir bumi merupakan kumpulan 17 mineral berharga yang digunakan dalam pelbagai produk berteknologi tinggi masa kini termasuk telefon pintar, magnet kuat digunakan dalam turbin angin dan kereta hibrid selain kanta teleskop, satelit serta sistem panduan arah senjata.

Elemen nadir bumi itu turut digunakan dalam pembangunan jet pejuang serba canggih jenis F-35 Lightning dan F-22 Raptor serta dron Predator dan peluru berpandu Tomahawk.

Antara 17 elemen nadir bumi itu adalah cerium, neodymium, thulium dan lanthanum.

Sementara itu, seorang lagi ahli ekonomi Dr Yeah Kim Leng berkata pengguna nadir bumi itu mungkin terpaksa mempelbagaikan sumber masing-masing jika perang dagangan AS-China itu berlanjutan dan menyaksikan negara terbabit meraih manfaatnya.

“Malaysia misalnya akan meraih manfaat daripada sebarang peningkatan eksport nadir bumi apabila penggantungan terhadap Lynas menjadi terus ketara,” katanya yang dipetik oleh satu portal berita dalam talian.

Menurut laman sesawang Lynas, sumber bahan itu diperolehi daripada Gunung Weld di Australia Barat yang dikenali antara lombong gred tertinggi nadir bumi di dunia.

Oksida nadir bumi Lynas dilombong dan melalui pemprosesan awal di kilang syarikat itu di Gunung Weld berkenaan.

Bahan itu kemudiannya dihantar ke pelabuhan industri di Kuantan dan seterusnya ke kilang Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng yang mana syarikat itu melakukan pelbagai siri pemprosesan penapisan dan operasi berkaitan bagi menghasilkan mineral nadir bumi berkualiti tinggi.

Namun Lynas dlingkari pelbagai kontroversi sejak mengendalikan kilangnya di Kuantan pada 2012 berikutan penghasilan sisa penulenan air larut lesap (WLP) yang mempunyai paras radioaktif yang rendah.

Lesennya bagi pengoperasian LAMP pula akan tamat pada 2 Sept ini.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin dipetik berkata bahawa kerajaan akan turut mengumumkan keputusan berhubung pembaharuan lesen Lynas Malaysia menjelang 15 Ogos ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata Lynas mungkin dibenarkan untuk mengekalkan usaha pemprosesan sisa nadir bumi di kilangnya di Gebeng dengan syarat ia dapat membangun serta menyelenggara kemudahan bagi mengendalikan pelupusan sisa terbabit.

Beliau juga dilaporkan berkata eksport bahan sisa WLP itu tidak akan dijadikan syarat bagi memperbaharui lesen operasi Lynas Malaysia.- BERNAMA