Lynas: Kerajaan tidak boleh selalu dengar pandangan popular

Lynas: Kerajaan tidak boleh selalu dengar pandangan popular

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad menegaskan kerajaan tidak boleh selalu mendengar pandangan popular berhubung pembaharuan lesen operasi kilang nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn. Bhd.

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan akan mengikut pandangan pakar serta saintis yang memahami mengenai bahaya sisa radioaktif.

Ujarnya, sukar bagi kerajaan untuk memutuskan mengenai operasi kilang nadir bumi itu apabila pakar mengesahkan bahawa tidak bahaya.

“Pandangan orang ramai satu perkara, pandangan pakar pula satu perkara lagi. Adakah kamu mengikut pandangan popular atau mengikut pandangan pakar?

“Jika mengikut pandangan popular, tiada apa yang boleh dilakukan kerana setiap kali kita bercadang melakukan sesuatu, akan ada yang menentangnya,” katanya.

Menurutnya, ada segelintir pihak yang menggunakan media alternatif untuk menyalurkan idea mereka sehingga siapapun yang menentang akan dikecam.

“Sekarang saya mahu mengikut apa yang dilaporkan oleh pakar. Jika ia merupakan bahan sangat berbahaya, maka kita tentu akan menyelesaikannya.

“Tetapi laporan itu mengatakan bahawa (ia) tidak berbahaya. Sisa diletakkan di satu tempat sahaja.

“Mungkin terdapat satu penumpuan. Kita bersedia untuk menyuraikannya tetapi kita tidak boleh eksport kerana tiada siapa yang mahu menerimannya, dan kita tidak boleh membuangnya ke laut juga kerana ikan akan mati,” ujarnya.

Dr Mahathir berkata demikian selepas merasmikan Kongres Perangkaan Dunia ke-62 anjuran International Statistical Institute (ISI) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Pada 15 Ogos lalu, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) mengumumkan lesen operasi kilang nadir bumi milik syarikat perlombongan Australia, Lynas Corp itu diperbaharui selama enam bulan.

Sebelum ini, lesen operasi Lynas dilanjutkan selama tiga tahun pada 2016 sehingga 2 September tahun ini.

Bagaimanapun, pembaharuan lesen Lynas, yang beroperasi di Gebeng Kuantan itu, kali ini disertakan dengan beberapa syarat utama.

Antara syarat yang dikenakan terhadap kilang nadir bumi itu ialah pemindahan proses ‘Cracking and Leaching’ ke luar negara dan pembinaan Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF).

Lynas juga mesti menamatkan semua aktiviti penyelidikan dan pembangunan berkaitan penggunaan semula residu radioaktif WLP sebagai Condisoil dalam bidang pertanian.