Malaysia Dateline

Lynas perlu tumpu hantar bahan radioaktif WLP ke luar negara

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mendakwa kenyataan Lynas bahawa penghasilan kondisioner tanah yang mengandungi sisa radioaktif Water Leached Purification Residue (WLP) sebagai satu kejayaan kajian yang membawa kepada aplikasi komersial, adalah tidak benar.

Fuziah berkata laporan yang disiarkan di akhbar News Straits Times (NST) itu dianggap sebagai tidak bertanggungjawab serta didapati menyelewengkan fakta sebenar.

Fuziah Salleh

“Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) telah pun melarang kajian melibatkan WLP yang merupakan sisa radioaktif dari kilang Lynas diteruskan.

“Mestecc juga telah mengarahkan sisa WLP tersebut dihantar pulang ke negara asal sebelum tempoh tamat lesen pengoperasian Lynas pada Sept 2019,” katanya.

Menurut kenyataan yang disiarkan oleh Mestecc, pihak kementerian tersebut mengambil maklum bahawa pihak Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas Malaysia) sedang menjalankan kajian terhadap kitar semula sisa WLP dan Neutralization Underflow Residue (NUF) sebagai bahan kondisioner tanah atau condisoil.

Walaubagaimanapun setelah mendapat pandangan pakar-pakar, Jawatankuasa Penilaian melaporkan bahawa jangka masa bagi kajian tersebut adalah tidak mencukupi untuk membuat kesimpulan berhubung sama ada Condisoil selamat untuk digunakan.

Fuziah berkata oleh kerana Condisoil mengandungi bahan WLP, maka ianya tidak boleh di teruskan samada dalam bentuk kajian atau potensi kegunaannya.

“Lynas selama ini agak ketara tidak mahu bercakap berkenaan sisa radioaktif WLP. Mungkin mereka mempercayai bahawa rakyat juga akan terus menerus mempercayai strategi komunikasi mereka yang tidak menyebut tentang WLP.

“Ia seolah-olah menunjukkan sisa buangan radioaktif tersebut tidak wujud. Saya kira Lynas tidak harus membuang masa menggunakan strategi media ini. Sebaliknya harus menumpukan kepada usaha menghantar sisa radioaktif WLP ke negara asal Australia seperti yang telah di syaratkan oleh Mestecc,”katanya.