Lynas: Syarat ketat pastikan penghasilan residu radioaktif dihentikan
Isnaraissah Munirah Majilis

Lynas: Syarat ketat pastikan penghasilan residu radioaktif dihentikan

Ketegasan kerajaan mewajibkan beberapa syarat dalam melanjutkan lesen operasi kilang memproses nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) di Gebeng, antaranya bertujuan memastikan penghasilan residu radioaktif dihentikan pada masa hadapan.

Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Isnaraissah Munirah Majilis berkata menurut syarat ditetapkan, Lynas hendaklah mengemukakan perancangan pembinaan kemudahan ‘Cracking and Leaching’ di luar negara bagi memindahkan proses yang kini dijalankan di Gebeng.

“Kemudahan ‘Cracking and Leaching’ di luar negara hendaklah dibina dan mula beroperasi dalam tempoh empat tahun dari tarikh sah lesen.

“Selepas kemudahan ‘Cracking and Leaching’ mula beroperasi di luar negara, pemegang lesen tidak lagi dibenarkan menghasilkan residu radioaktif yang melebihi 1 Becquerel per gram di lojinya, di Gebeng,” katanya pada sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang meminta pihak kementerian menyatakan alasan kerajaan meneruskan kilang Lynas di Kuantan dan kesan kepada kesihatan rakyat apabila Lynas meneruskan operasinya.

Mengulas lanjut, Isnaraissah Munirah berkata pembaharuan lesen operasi Lynas itu diluluskan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (LPTA) hanya untuk tempoh enam bulan bermula Ogos lepas, dengan syarat lebih ketat perlu dipenuhi kilang yang berasal dari Australia itu.

Katanya ia bertujuan memastikan operasi Lynas, terutamanya daripada segi pengurusan sisa Lynas adalah selamat dan tidak mengancam keselamatan penduduk sekitar.

“Syarat-syarat baharu ini diputuskan susulan keputusan Jemaah Menteri berdasarkan syor Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas Advanced Materials Plant dalam laporannya pada November 2018,” katanya.

Mengenai syarat Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF), beliau berkata ia bertujuan memastikan pengurusan sisa residu ‘Water Leach Purification’ (WLP) adalah ketat bagi jangka panjang berbanding penstoran sisa radioaktif WLP yang sebelum ini dibenarkan kerajaan terdahulu di tapak penstoran sementara (RSF).

Katanya LPTA secara tetap melakukan pemeriksaan berkala ke atas operasi Lynas selain menjalankan pensampelan alam sekitar sebagai langkah verifikasi.

Merujuk Seksyen 22 (1) Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304), beliau berkata sekiranya pemegang lesen melanggar mana-mana syarat lesen, kerajaan boleh membatal atau menggantung selama tempoh difikirkan patut terhadap lesen yang dikeluarkan.

— BERNAMA