Malaysia Dateline

LZNK: Amil, pengutip zakat negeri lain ambil kesempatan akan diambil tindakan

Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) tidak akan membenarkan mana-mana amil dan pengutip zakat bagi pihak negeri lain tanpa kebenaran LZNK  akan diambil tindakan.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zakaria Othman selepas program Wacana Hala Tuju Institusi Zakat di Alor Setar, kelmarin.

Jelas beliau lagi, LZNK kini sedang mengenal pasti individu maupun agensi mengutip zakat bagi pihak negeri lain tanpa kebenaran walaupun ia merupakan sebuah agensi berdaftar yang sah di negeri lain.

Malah ujarnya, mana-mana individu atau agensi terlibat dinasihatkan supaya segera menghentikan aktiviti tersebut dengan segera.

“LZNK tidak akan teragak-agak untuk mengambil sebarang tindakan mengikut undang-undang sedia ada.

“Seringkalinya modus operandi yang dijalankan oleh mereka yang terlibat menawarkan pulangan balik sebanyak 50 peratus daripada jumlah kutipan kepada mereka yang membayar zakat tersebut.

“Pelbagai keraguan menjadi persoalan walaupun dalam SOP, 50 peratus pulangan adalah untuk keperluan asnaf, namun begitu setakat mana wang tersebut digunakan untuk manfaat golongan yang dinyatakan, ” tegasnya.

Zakaria(tiga dari kiri)bersama Mantan Reaktor Uiniversiti Al-Azhar, Syeikh Profesor Dr Ahmad Umar Hasyim pada Wacana Hala Tuju Institusi Zakat kelmarin. (1)

Katanya lagi, masih ramai lagi golongan miskin yang terdapat di negeri Kedah.

Namun begitu ujarnya, tiada langsung perasaan bersalah bagi mereka yang mengutip zakat di Kedah serta dibawa ke negeri lain adalah tidak wajar sama sekali.

“Amat dibimbangi apabila ramai pembayar zakat nanti sanggup membayar zakat di negeri lain semata-mata kerana tawaran pulangan sehingga 50 peratus berbanding pulangan 37 peratus yang ditetapkan oleh LZNK.

“Seandainya pengutip secara haram ini tidak wujud, tidak dapat dinafikan kutipan zakat LZNK akan dapat ditingkatkan lagi walaupun kutipan masih menggalakkan.

“Dengan peningkatan kutipan zakat oleh LZNK ia mampu untuk disalurkan kepada lebih ramai lagi penerima yang terdiri dari golongan asnaf, fakir dan miskin, ” tambahnya.