Malaysia Dateline

LZNK sedia latihan untuk bantu negara luar bangunkan zakat

Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) bersedia menyediakan latihan untuk pelbagai pihak termasuk wakil agensi zakat dari luar negara, mengenai tadbir urus zakat secara telus dan cekap.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syeikh Zakaria Othman berkata, sehingga kini pihaknya telah melatih beberapa wakil dari Uganda, Ghana dan terkini dari Nigeria serta sudah menerima permohonan daripada Karala di India, Senegal dan Tanzania.

“Istimewanya ialah perpindahan teknologi dan ilmu ini kita beri secara percuma sebab kita nak membantu mengembangkan cara urus tadbir zakat Kedah ini ke seluruh dunia.

“Kita juga akan bagi sijil Kedah International Zakat Academy (KIZA) apabila tamat latihan yang merangkumi antaranya cara kutipan agihan, perakaunan, audit sistem teknologi maklumat dan mereka boleh menggunakan modul yang sama di negara mereka nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan bersama Syarikat-syarikat Korporat dan Pelancaran Sistem Zakat On Touch (ZOT) di sini, malam tadi.

Zakaria berkata modul pengurusan zakat Kedah turut menarik minat Bank Pembangunan Islam (IDB) yang beroperasi di Jeddah, Arab Saudi.

“Selepas mereka melihat kita melatih negara-negara lain membangunkan zakat, mereka sedia berbincang untuk mengeluarkan dana bagi membantu negara-negara itu kerana mereka melihat LZNK berpotensi membangunkan negara Islam dengan zakat,” katanya.

Mengenai Aplikasi ZOT, katanya aplikasi dalam talian yang dibangunkan kakitangan LZNK itu diyakini mampu meningkatkan jumlah kutipan serta agihan pada masa depan serta akan memberi lebih banyak manfaat kepada asnaf.

Katanya aplikasi itu memberi kemudahan kepada pembayar zakat dan pengurusan LZNK menyemak serta memantau kutipan setiap hari.

“Menerusinya orang ramai boleh mengetahui jumlah kutipan zakat sesebuah masjid di kampung mereka dan ke mana ianya diagihkan sekali gus dapat membina keyakinan masyarakat kepada institusi itu untuk membayar zakat,” katanya.– BERNAMA