Malaysia Dateline

LZS berharap lebih banyak syarikat korporat dapat bekerjasama dengan lembaga itu bagi membantu golongan memerlukan.

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana dan pegawai RTM

Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan penyelewengan dana melibatkan pihaknya dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop berkata LZS sentiasa berkongsi maklumat berkaitan aktiviti pengurusan zakat di Selangor melalui pelbagai medium termasuk media massa.

“Ini termasuk menerbitkan program televisyen bagi tujuan meningkatkan kesedaran berzakat dalam kalangan masyarakat.

“Pelaksanaan penerbitan program televisyen berkenaan diuruskan oleh perunding pengiklanan profesional yang dilantik oleh LZS mengikut prosedur yang ditetapkan, skop dan harga kontrak yang dipersetujui menggunakan dana pengurusan amil,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan dua pegawai kanan RTM direman sembilan hari sehingga esok bagi membantu siasatan berhubung apa yang disyaki salah guna dana Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata kedua-dua pegawai wanita berusia 37 tahun dan 40 tahun itu antara tiga individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan pada 7 Okt lepas.

Seorang lagi dibebaskan selepas keterangannya diambil.– BERNAMA