M Nasir kini bergelar doktor, terima Ijazah Kehormat dalam bidang pesembahan dari UPSI

Oleh MALAYSIADATELINE

Penyanyi dan maestro muzik, Datuk M Nasir kini bergelar doktor selepas dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persembahan di dalam Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-26 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak.

Dalam majlis yang berlangsung pada Sabtu itu, M Nasir atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Mohamed menerima anugerah yang membawa gelaran doktor daripada Raja Permaisuri Perak merangkap Canselor UPSI, Tuanku Zara Salim.

Memetik laporan Berita Harian, ikon seni tanah air berusia 67 tahun itu menganggap anugerah diterimanya sebagai pengiktirafan yang cukup besar terhadap perjuangan di dalam bidang seni.

M Nasir juga menyifatkan pemberian gelaran doktor dari UPSI ini turut melambangkan kepekaan institusi pengajian berkenaan terhadap perkembangan industri hiburan tanah air.

“Terima kasih kerana memberi penghormatan ini. Anugerah ini menjadi lebih bermakna apabila diberi sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang mengutamakan pendidikan dalam bidang seni.

“Anugerah ini sangat besar buat saya. Ini menunjukkan UPSI menghargai apa yang saya lakukan sepanjang 45 tahun dalam bidang seni. Biarpun ini bukanlah sesuatu yang baharu, namun saya bersyukur.

“Kerana ia membuktikan mereka (UPSI) mengikuti perkembangan semasa dunia seni. Ini suatu penghormatan buat semua penggiat industri secara keseluruhan,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Selain M Nasir, vokalis kumpulan Lefthanded iaitu Datuk Nash akan turut menerima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan di dalam istiadat yang diadakan di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah sehingga 30 November itu.

Mengulas lanjut, M Nasir mendedahkan bahawa syarikat miliknya sudah bekerjasama dengan UPSI sejak lapan tahun lalu di mana pelajar dari institusi pengajian itu menjalankan latihan amali di Luncai Emas Sdn Bhd.

“Syarikat saya, iaitu Luncai Emas Sdn Bhd menjadi rakan strategik UPSI melalui perjanjian persefahaman sejak 2016 sehingga sekarang. Melalui kerjasama itu, ramai pelajar UPSI menjalani latihan amali di syarikat saya.” Jelasnya.

Sekadar info, M Nasir sudah menjadi pakar rujuk dan juga penasihat di dalam bidang seni persembahan di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI sejak 2021.

Baca juga: Dapat watak mencabar, Alif Hadi akui sukar hafal ayat suci al-Quran dalam masa singkat