Malaysia Dateline

MA63: Perbincangan isu minyak, gas harus telus, kata Jingga 13 Sarawak

Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Sarawak harus telus dalam isu membabitkan perbincangan mengenai minyak dan gas Sarawak.

Malah kesilapan PDA74 harus menjadi teladan dan diambil iktibar serta sempadan.

Demikian disarankan oleh Koordinator Jingga 13 Sarawak, Nikson Abdullah dalam kenyataan beliau.

Tegasnya lagi, Jingga 13 Sarawak merayu supaya dikembalikan semula rundingan ke meja Jawatankuasa Pemandu agar ianya telus dan terhindar daripada salahguna kuasa.

“Serapkanlah semangat MA63 dimana pungutan suara rakyat dilakukan untuk membentuk MA63(Suruhanjaya Cobbold)..

“Jingga 13 Sarawak tidak rela menyerahkan masa depan negeri ini kepada tangan dua individu sahaja.

“Lebih penting lagi, rakyat Sarawak berhak untuk mengikuti perkembangan perbincangan minyak dan gas negeri ini demi masa depan mereka, ” ujarnya.

Menurut Nikson lagi, Jingga 13 Sarawak amat berharap tidak akan berlaku perjanjian rahsia dan sulit sepertimana yang telah terjadi pada tahun 1974 yang lalu.

Tegasnya, kesan daripada apa yang telah dilaksanakan pada tahun tersebut telah memberi impak negatif sehingga mengakibatkan kerugian besar kepada rakyat Sarawak setelah PDA74 diwartakan.

Sejajar dengan itu tambah beliau, kepentingan rakyat Sarawak harus lebih diberi prioriti dari mengutamakan kepentingan peribadi beberapa individu terlibat dalam isu minyak dan gas tersebut.

Katanya, ketelusan dan ‘transparent’ tersebut akan memberi impak kepada sokongan yang akan diberikan oleh rakyat Sarawak membabitkan kedua-dua isu tersebut.