Malaysia Dateline

MA63: Sarawak tidak runding 4 perkara dengan Persekutuan

Sarawak tidak akan berunding mengenai empat perkara yang telah ditetapkan mengikut negeri sebagai hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bekata, beliau menekankan mengenai pendirian kukuh Kerajaan Negeri Sarawak mengenai empat perkara yang tidak dapat dirunding.

“Dalam rundingan yang sedang berlangsung antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, saya ingin menekankan mengenai pendirian kukuh Kerajaan Negeri Sarawak mengenai empat perkara ini tidak dapat dirunding.

“Empat perkara yang tidak dapat dirunding ialah hak imigresen negeri, hak Negari untuk kuasa percukaian seperti pengenaan Cukai Jualan Negeri, cukai pelabuhan, dan undang-undang negeri lain, perlindungan hak Negara di dalam Rak Continental, dan kedaulatan negeri atas kawasan laut dan kawasan tanah,” tegas beliau.

Kenyataan tersebut dikeluarkan menerusi ucapannya semasa Mesyuarat pertama Majlis Khas MA63 melalui sidang video yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Justeru, tambah beliau lagi, perkara-perkara tersebut tidak akan dibuka untuk sebarang rundingan kerana ia telah ditetapkan mengikut negeri sebagai hak di bawah Perjanjian MA63.