Malaysia Dateline

MA63: UPKO dakwa Muhyiddin buat gimik pilihan raya

Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mendakwa penubuhan Majlis Khas mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah gimik semata-mata.

Menurut Presidennya, Datuk Seri Wilfred Madius, ini berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh Muhyiddin itu adalah ketika Sabah kini dalam ‘mood’ musim Pilihan Raya Negeri (PRN).

Justeru, tegas beliau pengumuman menubuhkan Majlis Khas MA63 itu merupakan seolah-olah hanya gimik sahaja lebih-lebih lagi Jawatankuasa Khas bagi mengkaji perjanjian berkenaan sudah pun diwujudkan sebelum ini.

“Sebenarnya, sebelum ini Jawatankuasa khas MA63 telah diwujudkan dan beliau (Muhyiddin) sendiri merupakan antara ahli dalam jawatankuasa tersebut.

“Jawatankuasa ini juga telah mengenal pasti sebanyak 21 perkara yang mana 17 daripadanya sudah mencapai persetujuan manakala perkara lain masih perlu diperincikan,” tegas Madius.

Beliau menjelaskan, adalah tiada keperluan bagi menubuhkan Majlis Khas MA63 dan mengkaji perkara yang sudah dipersetujui sebelum ini.

“Saya sokong kalau Perdana Menteri mengatakan akan memastikan rakan-rakan Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) di Sarawak menyokong pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan selepas ini.

“Ini adalah tindakan yang lebih penting. Kalau setakat menubuhkan Majlis Khas MA63, saya fikir itu hanya gimik semata-mata,” ujarnya.

Katanya lagi, perkara asal yang terkandung dalam MA63 hanya perlu dikembalikan termasuklah perkara berkaitan agama rasmi serta kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah dalam Persekutuan.
Attachments area