Malaysia Dateline

Maaf Azmin, KKM umumkan kedai gunting rambut masih tidak boleh dibuka

Tekanan kepada Menteri Kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali nampaknya bertimpa-timpa. Selepas arahan beliau agar semua industri dibuka ditolak tujuh negeri, cadangan beliau agar kedai gunting rambut dibuka juga sekali lagi disekat.

Hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan kedai guntung rambut masih belum dibenarkan beroperasi, “kerana terdapat laporan di Jepun dan AS jangkitan Covid-19 dalam kalangan mereka yang menggunting rambut dan pelanggan.

“KKM akan memantau sebelum benarkan ia beroperasi dan pengumuman akan dibuat tempoh terdekat,” kata kenyataan KKM yang dibuat melalui twitter itu.

Pada 10 April lepas, Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI) itu memaklumkan kerajaan mengumumkan sektor tambahan yang dibenar beroperasi dalam tempoh itu termasuk kedai gunting rambut.

Ekoran pengumuman itu, pelbagai pihak membantah pengumuman Azmin itu.

Seorang penyokong Azmin Ali tampil mempertahankan keputusan menteri kanan tersebut untuk membenarkan perkhidmatan gunting rambut dibuka sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan.

Penyokong tersebut Afif Bahardin yang juga seorang doktor perubatan antara lain mendakwa, perkhidmatan itu antara lain perlu dibuka untuk membolehkan orang ramai mengawal darah tinggi.

Bekas exco kerajaan Pulau Pinang itu dalam satu kenyataan berangkai di Twitter mendakwa, kaitan menggunting rambut dan sakit darah tinggi itu disokong oleh kajian perubatan.

Namun pada 13 April, kedai gunting rambut, salun kecantikan dan kedai cermin mata tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mengambil kira pandangan pakar, badan bukan kerajaan dan keluhan rakyat.