Malaysia Dateline

‘Maaf hujung rambut ke hujung kaki patut disusuli pelantikan Exco Umno’

Di sebuah Himpunan Penyatuan Ummah oleh Pas dan Umno di Kuala Terengganu baru-baru ini, Presiden Umno Datuk Zahid Hamidi yang mewakili seluruh pimpinan Umno memohon maaf dari hujung rambut kepada hujung kaki keatas salah dan dosa Umno kepada Pas selama 61 tahun yang lepas.

Soalannya adakah kesemua ahli Umno bersetuju dengan pengisytiharaan tersebut?
Adakah benar ahli Umno bersedia memohon maaf sebegitu rupa walaupun Presiden Pas tidak menarik balik amanat Banggol Peradong oleh Abdul Hadi Awang yang melibatkan isu kafir mengkafir, tidak halal sembelihan ahli Umno dan sembahyang dua imam? Ianya merupakan isu yang amat besar melibatkan akidah mereka.

Zahid Hamidi juga menyatakan – “ada ubi ada batas, menanam ubi mestilah ubi itu berisi”. Zahid dan pimpinan Umno mestilah mengharap sesuatu dan mereka amat bertuah jika Pas memberi respon yang positif.

Kerajaan PH telah membuka pintu Universiti tempatan seluas-luasnya kepada penceramah dan pensyarah Pas tetapi malangnya sebuah surau pun belum dibuka pintunya kepada tokoh ahli PH terutamanya di Terengganu.

Pada kami istilah “orang berbudi kita bebahasa” tidak di guna pakai oleh Pas di sini. Adakah ini ada kaitan dengan amanat Banggol Peradong yang belum pernah di tarik balik kepada semua pihak?

Cadangan Zahid Hamidi adalah untuk Pas mengambil dua bekas Menteri Besar Umno Terengganu-Datuk Ahmad Said dan Datuk Razif yang masih menjadi ahli DUN Terengganu memasuki kerajaan negeri Pas.

Dengan itu mereka bolehlah membantu menyelesaikan masalah isu wang ehsan, hutang royalti, masalah projek sakit Taman Ilmu, Pusat Bebas Cukai dan bas amfibia yang tidak pernah sampai dan juga yang rosak berterusan.

Oleh kerana mereka adalah orang bertanggungjawab dan berpengetahuan dalam hal-hal tersebut untuk membantu Pas, kami dari PH Terengganu daripada dahulu lagi menyokong penuh cadangan Datuk Zahid Hamidi.

Mengapakah Pas keberatan menerima tokoh Umno dalam kerajaan negeri setelah Umno memohon maaf dari hujung rambut hingga ke hujung kaki? Bukankah mereka dua rakan yang ikhlas kepada ahli-ahli mereka ?

Kalau PH telah membuktikan kerjasama dan kepercayaan baik dengan membenarkan parti yang memegang kerusi yang sedikit menjadi ketua Menteri kenapa Pas tidak boleh melantik dua ahli Umno sebagai Exco negeri sahaja tanpa melepaskan kerusi Menteri Besar? Buktikan keikhlasan kerja berpasukan kepada rakyat.

Sudah sampai masanya penyokong Pas dan Umno tidak dikelirukan lagi oleh pemimpin mereka.

 

*Penulis merupakan Pengerusi AMANAH Terengganu.