Malaysia Dateline

Maaf YB angkat bendera putih satu ikhtiar, kata Personaliti Tv Fedtri Yahya

Personaliti TV Fedtri Yahya yang sering bersiaran dalam segmen Jejak Rasul tidak bersetuju dengan pandangan yang dikeluarkan oleh Ahli Majlis Syura Ulama Pas Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Beliau menyanggah pandangan Ahli Parlimen Bachok itu dengan menyatakan tindakan mengangkat bendera putih itu adalah merupakan satu ikhtiar.

Katanya, bendera putih itu sebagai ‘signal’ bagi memudahkan kerja-kerja badan bukan kerajaan atau jiran tetangga untuk menghulurkan bantuan.

“Maaf YB. Angkat bendera putih tu satu ikhtiar. Kadang-kadang orang tak dapat kesan. Bila ada ‘signal’ macam ni, mudah kerja-kerja NGO dan jiran tetangga.

“Sebab nak meminta, bukan semua orang ada kekuatan. Usaha, doa, tawakal,” kata beliau menerusi Facebooknya.

Bagaimanapun, beliau meminta orang ramai yang memerlukan bantuan makanan dan keperluan segerakan kibar bendera putih kerana ada mulut yang perlu disuap, dan ada beban yang perlu diringankan.

“Jangan ambil tindakan yang merugikan diri dan orang tersayang. Elakkan stres. Tidak perlu merayu dan malu. Hanya kibarkan kain putih, semoga ada yang membantu,” katanya.

Kenyataan Nik Abduh hari ini mengundang kecaman orang ramai berikutan beliau meminta orang ramai mengangkat tangan menadah doa di dalam menghadapi ujian bukannya mengaku kalah dengan mengangkat bendera putih.