Maafkan kami Wan Saiful Wan Jan

Maafkan kami Wan Saiful Wan Jan

Belum pun tiba hari raya – Wan Saiful telah memulakan upacara bermaafan akibat kegagalan Pakatan Harapan melaksanakan manifesto mereka. Wan Saiful merupakan individu yang bertanggungjawab menulis Buku Manifesto PH telah menggunakan skema jawapan universal – hutang negara yang ditinggalkan BN mencecah 1 trillion, manifesto tak dapat dilaksana. Wan Saiful kini menjadi Pengerusi PTPTN, saya percaya dia bertanggungjawab dalam keputusan kerajaan memeras peminjam PTPTN bermula dari gaji RM1,000. Tuan Wan Saiful tidak perlu terlalu merendah diri dengan memohon maaf kepada rakyat, sepatutnya rakyatlah yang memohon maaf kepada anda!

Maafkan kami Wan Saiful, kami naïf

Rakyat yang mengundi Pakatan Harapan melakukan kesilapan dengan beranggapan kerajaan mampu untuk menunaikan manifesto mereka, atau paling minimal memperlihatkan usaha ke arah pelaksanaan manifesto PRU14. Saya yakin para pendukung PH tidak pernah membayangkan mereka akan dikhianati – seperti yang berlaku pada polisi baharu PTPTN yang dibentangkan pada belanjawan 2019. Mana mungkin kerajaan yang telah berjanji untuk memberi penangguhan bayaran balik sehingga peminjam bergaji RM4,000 akan “memeras” peminjam dengan memberi tekanan pada syarikat korporat untuk menjadi ‘ah-long’ kepada para peminjam. Lebih-lebih lagi jika kadar bayaran balik itu bermula dari RM1,000, memandangkan gaji RM1,100 – ini bermaksud tiada sesiapa yang terkecuali!

Sebelum PRU14, mustahil untuk para penyokong PH mempunyai imginasi seliar ini – maafkan mereka tuan Wan Saiful – kerana mereka percaya dengan janji-janji kalian, mereka naïf. Para pendukung PH juga pastinya tidak pernah membayangkan analogi “kangkung” yang sinonim dengan Ahmad Maslan akan kedengaran apabila PH mentadbir negara. Baru-baru ini tuan Wan Saiful memberitahu hutang kereta boleh bayar, mengapa tidak hutang PTPTN? Kalau ungkapan ini keluar daripada mulut Ahmad Maslan, sudah tentulah ia akan menjadi satira warganet. Mujurlah Wan Saiful merupakan orang yang merendah diri dan sanggup memohon maaf atas kegagalannya – oleh itu tuan terselamat.

Pendidikan percuma bukan masturbasi

Saya percaya tuan Wan Saiful beranggapan manifesto PH semasa PRU14 cumalah “imej” yang digunakan oleh para pengundi untuk bermasturbasi. Memandangkan terlalu banyak foto dalam imej yang PH tawarkan, saya cuma mahu menyentuh isu pendidikan percuma. Pendidikan percuma dalam masa lima tahun merupakan salah satu foto dari imej-imej yang ditangkap oleh Wan Saiful. Rafizi Ramli pernah melakukan kira-kira – dianggarkan untuk melaksanakan pendidikan percuma di Malaysia, kerajaan Cuma memerlukan 6 billion ringgit. Kerajaan telah meminta 30 billion dividen khas daripada PETRONAS – bukankah ia masuk akal kerajaan mampu mencari 6 billion untuk pendidikan percuma jika mereka mahu?

Permohonan maaf Wan Saiful menjawab persoalan saya – mengapa PH tidak pernah mengeluarkan kira-kira pendidikan percuma. Saya percaya kerana mereka tidak mahu rakyat tahu kos sebenar pendidikan percuma – supaya ia sentiasa terlihat sebagai sesuatu yang mustahil dan akan kekal menjadi “imej” untuk masturbasi rakyat.

Begitu juga dengan manifesto-manifesto lain yang dijanjikan PH, mereka bukanlah kelompok yang terlalu jahil untuk menulis manifesto seperti cerita dongeng sang kancil dan sang buaya. Keseluruhan manifesto yang mereka tawarkan pastinya telah melalui proses perbincangan dan analisis sebelum dibukukan. Manifesto itu boleh dilaksanakan. Sengaja mereka bermain dengan isu hutang negara yang kebanyakan rakyat tidak ada ilmu tentangnya – supaya tertanam ketakutan pada minda rakyat.

Kesan buruk pengabaian manifesto

Sekiranya PH tidak dapat melaksanakan janji-janji pilihan raya – mereka tidak seharusnya memperkenalkan polisi yang akan menambah tekanan pada anak muda. Lakukanlah ia dengan berperingkat dan tunjukkanlah perancangan yang jelas kepada rakyat. Rakyat sedar Barisan Nasional dipenuhi dengan koruptor – sebab itulah mereka telah dimalukan pada PRU14. Namun, sudah masanya PH ‘move on’ dan mula bekerja untuk merealisasikan janji-janji PRU14.

Sebelum ini manifesto adalah “harapan” – rakyat akan melihat pada manifesto untuk mengetahui tawaran-tawaran yang diberikan oleh parti atau koalisi politik yang bertanding. Pelanggaran janji – bahkan berlawanan sifatnya dengan janji – boleh menyebabkan rakyat trauma pada apa-apa manifesto selepas ini. Rakyat akan bersifat pesimis dan semakin prejudis terhadap ahli politik kerana – cuma tahu berjanji dan membohongi rakyat. Wan Saiful, rakyatlah yang perlu meminta maaf kerana mempercayai janji-janji kalian!

* Rahman Imuda merupakan seorang penulis.

COMMENTS