Penyampai radio Suria FM, Shuib akhirnya bersemuka dengan individu yang menyebarkan fitnah mengenai kematian isterinya, sebentar tadi.
Tampil berpelukan, Shuib mengakui telah terbuka hati untuk memaafkan individu yang bernama Zulhairi Othman itu.
Memuji keberanian lelaki itu untuk bersemuka, Shuib juga mengingatkan agar Zulhairi berhenti menyebarkan fitnah.
“Sejak bercakap di telefon semalam (Isnin), saya juga sudah berlembut hati. Hari ini Zulhairi tampil dan memohon maaf.
“Saya maafkan dia. Saya tahu dia seorang yang beradab kerana berani datang hari ini. Mungkin silap berkongsi di media sosial sebelum ini,” ujarnya.
Pelawak itu turut memohon maaf sekiranya sesi perjumpaan yang dihadiri media itu bakal memberi masalah lain pada Zulhairi.

Tampil menjelaskan keadaan sebenar, Zulhairi mendakwa kenyataan yang dimuat naik itu hanyalah disalin semula dari individu lain.
Mengakui kesilapannya, Zulhairi juga menyesal tidak meletakkan sumber asal sehingga dirinya menjadi buruan sebagai penyebar fitnah.
“Saya kongsi dan ‘copy-paste‘ ayat-ayat kejam itu daripada komen netizen. Silap besarnya, saya tak ‘creditkan‘ nama orang itu.” Katanya.

Terdahulu, Zulhairi telah memuat naik komen yang mendakwa Shuib terlibat dalam konspirasi Freemason untuk mempromosi vaksin.
Tidak cukup dengan itu, Shuib juga didakwa sengaja membiarkan isteri, arwah Siti Sarah dipaksa untuk ditidurkan ketika dijangkiti Covid-19.
Sementara itu, Shuib juga sedang mengesan seorang lagi pengguna media sosial yang turut menyebarkan fitnah mengenai kematian Siti Sarah.

Mahu dijadikan sebagai pengajaran, Shuib bakal mengenakan tindakan undang-undang kepada individu berkenaan.
“Tuduhan itu seolah-olah saya membunuh isteri sendiri. Kalau betul sila bersemuka dengan bukti,” tegas pelawak yang berusia 39 tahun itu.
Baca juga: Berang tak dapat pinjam duit, wanita perli jiran mampu korban tapi tak tolongnya