Maahad Darul Anuar: ‘Saya pemegang amanah tidak berhasrat serah mandat kepada sesiapa’

Maahad Darul Anuar: ‘Saya pemegang amanah tidak berhasrat serah mandat kepada sesiapa’

Nik Omar Nik Abdul Aziz menafikan dakwaan beliau menghantar permohonan untuk menyerahkan pengurusan Maahad Darul Anuar kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Beliau berkata, bapanya Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menyerahkan tanggungjawab pemegang amanah Maahad itu kepadanya selaku anak sulung Tuan Guru, dan sejak itu beliau mengambil tugas yang diamanahkan itu sehingga kini.

“Apabila saya diamanahkan wasiat dan mandat tersebut, saya terima dengan rasa tanggungjawab kerana minat saya yang mendalam dalam bidang pendidikan.

“Kesimpulannya, saya sebagai penerima wasiat dan pemegang amanah tidak terlintas untuk menyerahkan mandat kepada sesiapa, dan saya akan terus melangkah untuk memastikan impian saya dan Tuan Guru terlaksana.

“Suka saya menarik perhatian bahawa dengan status ‘wakaf’, tanah dan segala aset yang berkaitan dengannya, tidak lagi menjadi milik mana-mana individu, atau keluarga, atau pertubuhan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata liputan media bahawa YIK berhasrat untuk mengambil alih pengurusan Maahad Darul Anuar pada 2019.

Sedangkan katanya lagi, beliau selaku pemegang amanah dan juga ahli lembaga pengarah tidak pernah pada bila-bila masa menghantar permohonan untuk menyerahkan Maahad Darul Anuar kepada YIK.

“Pihak keluarga tidak sepatutnya membuat apa-apa permohonan mengenai sekolah dan wakaf berkenaan, kerana harta wakaf itu bukan milik keluarga, malah bukan juga milik saya secara peribadi.

“Saya hanyalah pemegang amanah, bukan pemilik. Saya tidak boleh dan tidak pernah berhasrat untuk memiliki atau menguasai harta wakaf berkenaan. Saya hanya melaksanakan tanggungjawab sebagai pemegang amanah.

“Sehingga kini operasi Maahad Darul Anuar berjalan seperti biasa. Kami sedang menguruskan untuk pengambilan pelajar baharu bagi sesi 2019,” ujarnya lagi.

Beliau menegaskan mana-mana pihak tidak sepatutnya membangkitkan isu menuntut hak, sebaliknya patut bersama berusaha untuk mengembangkan mutu pendidikan dan pembelajaran demi kepentingan semua.

“Semoga dengan kenyataan ini segala kekeliruan dapat dijelaskan, dan marilah kita sama-sama berdoa agar peninggalan wakaf ini dapat memberi manfaat kepada ummah, dan ganjaran pahalanya dilimpahkan kepada mana-mana yang berkenaan,” ujarnya.

Berita maahad itu akan diserahkan kepad YIK tular di media sosial setelah tersebarnya surat yang ditandatangani Pengarak YIK Tengku Ab Rahman Tuan Yunus.

Berdasarkan surat tersebut, YIK memaklumkan menerima permohonan daripada Keluarga Besar Nikmatillah yang mendakwa selaku pemegang amanah yang menguruskan tanah dan bangunan di Maahad Darul Anuar untuk menyerahkan pengurusan sekolah kepada pihaknya.

CATEGORIES
TAGS