Isteri manakah yang tidak terharu apabila suami memberikan hadiah sebagai tanda penghargaan terutamanya ketika sedang mengandung anak pertama.
Perasaan itulah yang dirasai isteri kepada penyampai radio, Fizi Ali iaitu Siti Zulaikha apabila suaminya menghadiahkan satu sampul ‘tebal’ dengan sejumlah wang tunai.
Menerusi satu hantaran di Instastory, Zulaikha menceritakan satu kejadian di mana Fizi memintanya memilih satu di antara dua sampul yang dipegang oleh suaminya itu.
Zulaikha kemudian mengambil sampul yang tebal walaupun tergerak hati sekiranya suaminya itu sengaja memperdayakannya dengan meletakkan isi selain wang ringgit.
“Selepas hantar anak pergi sekolah, suami balik itu terus tanya nak pilih sampul yang kiri atau kanan. Nampak belah kanan macam lebih tebal sahaja. Kita pun pilihlah yang itu kan.
“Tetapi dalam otak sudah terfikir, ini mesti kena ‘scam’. Mungkin dalam sampul, ada banyak sampul lagi di dalamnya. Tetapi bila tengok dalam (isi sampul), terus menangis,” kata wanita itu.
Alangkah terkejutnya wanita berusia 31 tahun itu selepas mendapati bahawa sampul tebal tersebut memang diisikan dengan wang tunai yang tidak dinyatakan jumlahnya.
Ibu yang sedang mengandung itu bagaimanapun tidak dapat menahan sebak kerana Fizi mengatakan, sampul diberi sebagai tanda penghargaan kerana menjadi isteri dan ibu yang baik.
“Saya tanya kenapa pula bagi sambul tebal ini? Dia jawab, ‘terima kasih sebab jaga anak-anak dan mengandungkan anak saya. Allahhu Akbar! Lagi lajulah air mata Mama turun ya.
“Berhingus teruslah hidung. (Kalau) Macam ini, nak mengandung setiap tahun pun tidak mengapa Daddy!,” tulis wanita tersebut dalam hantaran berkenaan berkongsi rasa terharu.
Dalam hantaran yang sama, Zulaikha turut mengucapkan terima kasih kepada Fizi dan menghargai kehadirannya sebagai suami dan bapa kepada anak-anak mereka.
Wanita itu juga berharap dan turut mendoakan supaya hubungan mereka berdua berkekalan dan terus berkasih sayang bersama anak-anaknya sehingga ke syurga kelak.
“Sejujurnya, terima kasih sebab jadi suami terbaik untuk saya dan ayah yang terbaik untuk anak-anak. Semoga kita terus berkasih sayang dan jaga sama-sama sehingga ke Jannah.
“Slowly but surely ya sayang. Love you to the moon and back, dunia dan akhirat saya.” Tambah Zulaikha membalas kembali penghargaan suaminya dengan kata-kata manis.
Zulaikha kini sedang mengandung anak pertamanya dengan Fizi namun penyampai radio itu memiliki zuriat melalui perkahwinan terdahulu iaitu Ameena Sofia yang berusia lima tahun.
Sekadar info, Fizi pernah berkahwin dengan pelakon iaitu Shakila Khoriri pada 18 Februari 2018, namun hubungan mereka tidak berkekalan dan bercerai tiga tahun kemudian.
Baca juga: Individu mengaku tolak tawaran gaji RM9,000 hanya kerana tidak mahu bekerja dengan ‘Type C’