Satu rakaman memaparkan pasangan yang baru bernikah iaitu Bunga Citra Lestari (BCL) dan suaminya, Tiko Aryawardhana telah tular di media sosial baru-baru ini.
Mengundang perbincangan hangat, rata-rata pengguna media sosial terkejut ketika melihat penyanyi seberang itu berhibur dalam majlis yang meraikan perkahwinannya.
Tidak ubah seperti kelab malam, hampir kesemua tetamu yang hadir dalam ‘after-party’ itu dilihat begitu asyik berhibur dan menari mengikut rentak muzik dimainkan.
Malah, suami BCL iaitu Tiko juga dilihat memberikan segelas air kecil dengan warna seakan minuman keras kepada tetamu sebelum menjulangnya dengan gaya ‘toast’.
Video tersebut turut memperlihatkan BCL yang menggayakan satu persalinan gaun pengantin singkat itu begitu ralik berparti serta menari bersama rakan-rakannya.
Seperti yang dijangka, rakaman tersebut dengan pantas tersebar dan dimuat naik di pelbagai jenis platform media sosial termasuklah pemilik akaun TikTok dari Malaysia.
Dengan kapsen ‘Bunga Citra Lestari (BCL) mabuk parti bersama suami baharu, Tiko’, video yang dimuat naik oleh @beritaofficial.my telah berjaya meraih ribuan tontonan.
Tinjauan di ruangan komen mendapati kebanyakkan pelayar TikTok berkongsi rasa tidak senang dan beristighfar melihat kelakuan pelantun lagu Wanita Terbahagia itu.
Malah, ada juga individu tampil mempersoalkan agama yang dianuti bintang filem Habibie dan Ainun itu kerana perilakuannya tidak mencerminkan imej umat Islam.
“Dia (BCL) sebenarnya agama Islam ke?,” kata seorang pengguna mempersoalkan status sebenar bekas isteri kepada pelakon Malaysia, Allahyarham Ashraf Sinclair itu.
“Astaghfirullah Al-Azim… Nauzubillahiminzalik,” tulis pengguna lain yang menginsafi diri sendiri sejurus selepas menonton video yang menggemparkan tersebut.
“Innalillahiwainnailaihirojiun.” Lafaz pengguna lain.
Terdahulu, BCL dan Tiko yang merupakan ahli perniagaan itu sah bergelar suami isteri selepas melangsungkan perkahwinan pada 2 Disember lalu di Bali, Indonesia.
BCL sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama arwah Ashraf Sinclair yang meninggal dunia pada 18 Februari 2020 lalu akibat serangan jantung.
Hasil perkongsian hidup bersama Ashraf, pasangan tersebut dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Noah Aidan Sinclair yang kini berusia 12 tahun.
Baca juga: Umno akan khianat kerajaan Perpaduan? Ini jawapan Puad Zarkashi