Malaysia Dateline

Macam kembali ke era BN, dakwa bekas timbalan menteri

Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Sivarasa Rasiah memberitahu dirinya dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh Rabu ini untuk membantu siasatan pihak polis.

Ia susulan kenyataanya pada November tahun lalu yang mendakwa wujudnya daulah terpendam (deep state) berhubung penahanan 12 individu yang dituduh terbabit dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Beliau berkata, panggilan bagi membantu siasatan itu seolah-olah menunjukkan negara kembali semula pada pentadbiran era Barisan Nasional (BN).

“Tahun lepas saya beri komen di Malaysiakini berkenaan tangkapan di bawah SOSMA yang kononnya melibatkan LTTE.

“(Saya) menjelaskan pandangan saya berkenaan peranan ‘deep state’. Sekarang diarahkan hadir ke IPD Sg Buloh hari Rabu untuk siasatan. Macam kembali ke era BN,” ciapnya melalui satu siri twitter, hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Sungai Buloh itu pernah berkata, elemen daulah terpendam dalam pasukan polis dan pejabat peguam negara penyebab penahanan dua wakil rakyat di bawah undang-undang anti keganasan yang kontroversi.

R Sivarasa berkata, penahanan dua wakil rakyat terbabit bersama-sama 10 individu lain yang dituduh cuba menghidupkan semula LTTE bertujuan untuk menjejaskan Pakatan Harapan (PH).

Daulah terpendam ialah istilah yang digunakan merujuk kepada gerakan individu atau kumpulan yang beroperasi secara rahsia untuk mensabotaj kerajaan.

Ia biasanya melibatkan anggota dalam kerajaan sendiri.