Bermacam-macam pilihan pembayaran elektronik (e-payment), terbaharu Google Wallet sekarang sudah tersedia di Malaysia.
Google Wallet menawarkan pengalaman pembayaran yang lebih selamat, mudah dan lebih membantu kepada orang ramai selain menyokong pelbagai item digital seperti pas masuk.
Pengguna boleh memuat turun Google Wallet daripada Gedung Google Play sekarang.
Mengikut laporan e-Conomy SEA 2022, pembayaran digital semakin popular dan dijangka mencecah hampir AS$200 bilion dalam nilai transaksi kasar di Malaysia menjelang 2025.
Pengarah Urusan Google Malaysia, Marc Woo, berkata pihaknya teruja untuk membawa Google Wallet ke Malaysia memandangkan jutaan rakyat Malaysia kini menggunakan telefon mereka setiap hari untuk membuat pembayaran.
“Melalui Google Wallet, rakyat Malaysia boleh mengetik untuk membayar di kedai atau membuat pembayaran dalam talian dengan lancar.
“Mereka juga boleh mengakses pas masuk dengan mudah apabila keluar untuk percutian akhir tahun.
“Google Wallet membantu memastikan segala-galanya dilindungi di satu tempat, tidak kira ke mana anda pergi,”dipetik BH.
Mulai hari ini, pemegang kad CIMB Bank (kad kredit Mastercard), Hong Leong Bank (kat kredit Visa dan debit Mastercard), Hong Leong Islamic Bank (kad debit Mastercard), dan Public Bank (kad kredit dan debit Visa), akan dapat menambahkan kad pada Google Wallet dan membayar menggunakan telefon Android atau peranti Wear OS di mana pembayaran tanpa sentuh diterima.
Pemegang Kad HSBC (kad kredit Visa dan Mastercard) dan HSBC Amanah (kad kredit Visa dan Mastercard) juga akan dapat menambahkan kad mereka pada Google Wallet tidak lama lagi.
Kad-kad bayaran dari Google Wallet dapat digunakan untuk membayar secara dalam talian untuk jenama seperti Airbnb, Al-Ikhsan Sports, Applecrumby, Eat Cake Today, Shopee, atau di mana saja terdapatnya butang Google Pay.
Sebelum ini, penggunaan perkhidmatan platform pembayaran elektronik (e-payment) seperti Touch ‘n Go e-wallet, Boost dan GrabPay mendapat sambutan dalam kalangan rakyat negara ini.
Pada tahun 2020, sebanyak 60 peratus daripada jumlah kutipan kerajaan adalah melalui kaedah pembayaran e-payment.