Macam mana nak jadi ‘king maker’ jika satu kerusi pun payah nak menang, kata AMANAH

Macam mana nak jadi ‘king maker’ jika satu kerusi pun payah nak menang, kata AMANAH

AMANAH Kedah musykil dengan hasrat Pas negeri untuk menjadi ‘king maker’ sedangkan parti itu dilihat sukar untuk memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya umum (PRU) kali ini.

Pengerusinya Datuk Dr Ismail Salleh berkata, Pas dilihat tidak lagi mendapat sokongan daripada masyarakat bukan Islam dan ini menyukarkan lagi parti itu untuk memenangi kerusi pilihan raya khususnya di Kedah.

“Di Kedah separuh daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) mempunyai pengundi Cina yang signifikan jumlahnya, iaitu lebih kurang 20%. Majoriti pengundi Cina keberatan untuk mengundi Pas.

“Undi Melayu di Kedah pula pecah kepada tiga iaitu kepada BN, Pakatan Harapan (PH) dan Pas.

“Tinjauan dilakukan Invoke dan kami sendiri menunjukkan sokongan Melayu kepada Pas berada pada tahap 25%. Jadi bagaimana Pas boleh yakin menang?” katanya.

Dr Ismail yakin masyarakat bukan Melayu lebih cenderung untuk mengundi PH dan keadaan semasa negara membuatkan undi Melayu mula beralih kepada PH.

Beliau memberikan dua faktor utama yang menyumbang kepada peralihan sokongan Melayu kepada PH iaitu kos sara hidup rakyat yang meningkat dan ‘tsunami Mahathir’.

Rakyat Kedah khususnya di luar bandar yang bekerja sebagai petani, pesawah, pekebun kecil getah dan nelayan merasai keperitan peningkatan kos sara hidup.

“Di masa yang sama, pendapatan mereka tidak meningkat malah merosot,” katanya.

Faktor Tun Mahathir juga jelas kelihatan di negeri kelahiran bekas perdana menteri itu.

“Sambutan kempen luar biasa. Lagi Tun Mahathir ditekan, sokongan rakyat makin bertambah,” katanya.

Sehubungan itu beliau menasihati para petugas PH yang kini sangat bersemangat supaya mengekalkan momentum sehingga hari pembuangan undi, 9 Mei ini.

“Jaga kesihatan, makan minum kena cukup, tidur perlu cukup. Teruskan usaha bertemu pengundi,” kata doktor perubatan itu lagi.

Dr Ismail bersama aktivis pilihan raya PH ketika kempen dari rumah ke rumah di Taman Bersatu dalam Dun Pengkalan Kundor, petang semalam.

Pas Kedah baru-baru ini menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang “menerima prinsip-prinsip Islamnya” jika berlaku situasi Dewan Undangan Negeri (Dun) tergantung di Kedah.

Calon PAS di Sungai Limau Mohd Azam Abd Samat berkata mereka sentiasa jelas dan konsisten dengan prasyarat untuk sebarang kerjasama itu.

“Kalau nak bersama dengan Pas, (terima) prinsip Islam Pas. Kalau tak mahu, Pakatan Harapan, BN, boleh bersatu dua-dua tubuh kerajaan. Itu prinsip dan dasar yang kita ada.

“Kalau semua setuju terima Islam, Alhamdulilah,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti itu di Kota Sarang Semut, Alor Setar, 3 Mei lalu.

Seorang penganalisa politik meramalkan Dun Kedah akan tergantung selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) minggu depan.

Penyelidik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohd Azizuddin Mohd Sani, menjangkakan BN menangi 16 daripada 36 kerusi, diikuti PH (12) dan Pas (8).

Untuk membentuk kerajaan, parti atau sesebuah gabungan memerlukan 19 kerusi di Dun Kedah.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS