Malaysia Dateline

Macron guna Islam raih sokongan

Lebih seminggu selepas seorang guru, Samuel Paty dibunuh Abdoullakh Abouyedovich Anzorov – seorang pelarian Muslim beragama Islam dari Chehnya- kerana didakwa menunjukkan karikatur Nabi Muhammad yang disiarkan majalah Charlie Hebdo kepada pelajarnya ketika kelas kebebasan bersuara, sentiment anti-Islam semakin meningkat di Peranchis.

Tindakan Presiden Perancis Emmanuael Macron menganugerahkan Legion d’Honneur kepada Samuel Paty, seorang guru mata pelajaran Sejarah, dianggap sebagai keterlaluan dan sengaja menghangatkan situasi kebencian.

Seorang pemimpin tidak seharusnya bermusuhan dengan rakyat, seharusnya berfikiran menenangkan keadaan negara supaya tidak kelihatan tegang. Tindakan beliau itu seolah-olah memanaskan lagi situasi seperti menuangkan minyak ke dalam api yang sedang membakar. Tetapi kenyataan Macron bahawa Islam dalam krisis sengaja menghangatkan senario yang akan menjuruskan umat Islam Peranchis ke suatu sudut di mana media kebencian dan rangkaian media sosialnya membesarkan api Islamofobia.

Jika diteliti rasanya Macron telah mengambil kesempatan daripada isu ini untuk memangsakan Islam dan umatnya demi kepentingan masa depan politiknya.

Umum mengetahui Peranchis sedang menderitai daripada krisis sosial yang berlarutan dan ia diperburukkan dengan dasar-dasar kerajaan Macron yang tidak menunjukan pembaharuan. Rakyat dah mula meluat dan tidak menunjukkkan sokongan kepada beliau.

Satu-satu cara untuk mendapatkan sokongan bagi menyelamatkan karier politiknya ialah dengan memain isu sensitif seperti Islamofobia dan pembunuhan Paty. Isu kebencian diharap akan menarik semula sokongan pengundi Peranchis menyokong beliau.

Jika membaca berita antarabangsa berhubung Peranchis, demontrasi rakyat kerap berlaku membantah dasar-dasar Macron yang gagal membawa pemulihan. Pada musim luruh 2018, sektor awam telah mengadakan mogok awam dan sepanjang 2019 terdapat beberapa demontrasi besar seperti membantah reformasi persaraan, kenaikan harga minyak, keganasan polis dan pengganguran.

Pada akhir tahun lepas menyaksikan mogok pengangkutan awam paling lama dalam sejarah Peranchis yang melumpuhkan perjalanan pengangkutan di negara tersebut.

Demonstrasi demi demontrasi yang dilakukan membuatkan rating Macron telah jatuh daripada hampir 60% semasa beliau dilantik menjadi Presiden pada May 2017 menjunam kepada 23 Peratus pada Mei 2017. Sebelum pandemik awal tahun ini, ratingnya telah meningkat sedikit kepada 33 peratus sokongan warga Peranchis kepadanya.

Kenaikan sedikit peratusan sokongan itu khususnya semasa awal krisis Covid-19 tidak membantu partinya menang dalam pilihan raya majlis bandaran pada Jun lepas. Parti beliau kalah teruk dengan lawannya Pergerakan Hijau di sejumlah besar bandaraya Peranchis.

Bayangkan dengan pilihan raya Presiden pada April 2022, beliau memerlukan strategi untuk menaikkan sokongan supaya dapat dilantik semula sebagai Presiden Peranchis.

Bagaikan menyorok bantal ketika hendak tidur, isu pembunuhan Samuel Paty datang bergolek kepadanya dan kesempatan diambil bagi menyelamatkan kerusi presidennya. Berdasarkan pengalaman terutamanya dalam isu serangan ganas terhadap pejabat majalah haluan kiri Charlie Hebdo di Paris, Perancis pada 7 Januari 2015, beliau akan meraihsokongan warga berhaluan kanan. Di samping itu pernyataan beliau yang bersifat rasis dan anti-Islam juga akan memperolehi sejumlah besar sokongan kumpulan warga yang berhaluan kiri.

Dalam isu Charlie Hendi seramai lapan orang wartawan termasuk editor, dan selebihnya dua orang anggota polis telah terkorban. Majalah Charlie Hebdo sering mempersendakan pelbagai tradisi agama dan faham kepercayaan, termasuklah Katolik, Yahudi dan tentulah Islam. Antara kartun yang diperaga oleh Charlie Hebdo dikatakan mengejek Nabi Muhammad SAW.

Maka pada awal Oktober, Macron dalam perutusan khasnya membuat kenyataan bahawa “Islam sedang berada dalam krisis” dan beliau sedang berusaha untuk membebaskan Peranchis daripada pengaruh asing.

Presiden telah menggunakan kesempatan ini untuk mengambil tindakan membasmikan pengaruh pelampau Islam di Peranchis. Beliau mengumumkan, kerajaan Perancis akan membentangkan rang undang-undang bulan depan bagi memperkukuh satu undang-undang yang digubal pada 1905, yang mengasingkan gereja dan pentadbiran di Perancis.
Langkah itu, kata Macron, dengan matlamat mengatasi masalah radikalisasi Islam yang semakin berkembang di Perancis dan memperbaiki kemampuan rakyat negara itu untuk hidup bersama.

Macron berkata, undang-undang baharu itu membenarkan rakyat Perancis memilih agama dengan bebas, namun ia tidak boleh diamalkan di sekolah atau perkhidmatan awam.

Menurutnya, Perancis berhasrat untuk ‘membebaskan’ Islam di negara itu daripada pengaruh asing dengan menambah baik pemantauan pendanaan masjid, manakala sekolah dan persatuan yang bertujuan untuk komuniti agama akan dipantau dengan teliti.
Antara langkah segera beliau ialah mengambil tindakan keras ke atas beberapan kumpulan Islam terutamanya Pertubuhan Sukarela dan kebajikan di Peranchis.

Retorik Islamofobia yang diperbesarkan Macron telah membawa kepada perdebatan awam mengenai serangan pengganas. Akhirnya korus media rasis dan kebencian dan ahli politik sekular yang merentasi spektrum politik bersatu dalam keyakinan kebebasan bersuara dan nilai-nilai Peranchis yang harus dipertahankan dan masyarakat awam akan bangkit menentang puak pelampau Islam.

Persaoalannya sejauh manakah isu Islamofobia diutarakan dengan penuh tanggungjawab atau ia sekadar menjadi isu politik untuk memenangi hati pengundi untuk menang dalam pilihan raya?

Sepanjang dua dekad, negara Peranchis tidak menyelesaikan isu Islamofobia dengan ikhlas malah ia masih sekadar berputar menjadi suatu pusingan ganas yang tidak ke mana. Tambahan Peranchis tidak mengakui Islam sebagai agama dan pengenalan Islam hanya melalui ras atau negara asal dan kerajaan tidak menganggap isu umat Islam Peranchis sebagai isu dalam negeri Peranchis.

Hakikatnya Peranchis tidak mahu memperakui bahawa tiada bukti-bukti empirikal yang menunjukkkan bahawa agama adalah penggiat atau pemberi semangat kepada tindakan kekejaman melampau dan radikalisme adalah fenomena sosial.

Insiden keganasan telah digunakan sebagai pengalihan perhatian daripada kegagalan dasarnya ke atas warga Islam Peranchis yang membawa kepada peminggiran dan pengasingan seluruh komunitinya. Ini menyebabkan warga Islam Peranchis berada dalam kepompong mereka sahaja.

Kerajaan Peranchis telah gagal dalam mengutarakan isu diskriminasi dalam isu perumahan dan perkerjaan, kemiskinan dan rasisme dan masih menuduh komuniti Islam Peranchis sebagai punca kepada masalah dan mereka gagal mengintegrasi ke dalam masyarakat besar Peranchis.

Mereka mengamalkan pendekatan keselamatan terpusat di mana Islam secara sistematiknya ditanggapi sebagai sesuatu yang jahat di mana masyarakat Islam adalah ancaman kepada corak kehidupan dan hak asasi seperti kebebasan bersuara.

Kepada majoriti umat Islam Peranchis, keadaan berat sebelag yang paling ketara ialah apabila Islam dihina, dikritik, dijadikan momokan, bahan ejekan dan mereka bebas untuk melakukanya atas nama kebebasan bersuara. Tetapi apabila mengkritik dasar-dasar Israel , Yahudi dan Zionisme, kebebasan bersuara tidak boleh digunakan.
Rasanya kerajaan Peranchis sendiri yang memisahkan diri mereka daripada masyarakat Islam dan melayan mereka sebagai orang luar. Ia tidak memperakui bahawa multikulturalisme adalah bahagian penting dalam masyarakat Peranchis dan harus memperakuinya.

Macron ternyata menggunakan isu pembunuhan Paty sebagai lonjakan karier politik dan cubaan meraih sokongan rakyat untuk meneruskan hayat sebagai Presiden Peranchis.

Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Komputeran di Universiti Selangor (Unisel)