Macron ikrar bina semula Katedral Notre Dame

Macron ikrar bina semula Katedral Notre Dame
Emmanuel Macron

Presiden Perancis Emmanuel Macron pada Isnin berikrar akan membina semula bangunan ikonik Katedral Notre Dame di Paris selepas ia rosak teruk dalam satu kebakaran besar, lapor agensi berita Turki Anadolu.

“Perkara paling buruk berjaya dielak meskipun perjuangan belum selesai dan tempoh beberapa jam berikutnya akan menjadi sukar,” kata Macron kepada pemberita selepas memeriksa lokasi kejadian.

Beliau berkata satu kempen kebangsaan akan dilancarkan bagi memulihkan monumen berusia 850 tahun itu.

Sementara itu, seorang paderi katedral tersebut berkata kebanyakan karya seni dan barangan berharga berjaya diselamatkan.

Punca kebakaran belum diketahui. ‏

Puncak menara Katedral Notre Dame di pusat bandar Paris runtuh dalam satu kebakaran besar pada Isnin petang, lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan.

Kebakaran bermula pada kira-kira 1700 GMT waktu tempatan, menurut media Perancis. Ia mungkin berkaitan dengan kerja-kerja pengubahsuaian yang sedang dilakukan di katedral zaman pertengahan itu, antara tarikan pelancong ke bandaraya tersebut.

Anggota bomba kini bertungkus-lumus untuk mengawal kebakaran, kata Datuk Bandar Paris Anne Hidalgo.

Rakaman visual online menunjukkan asap tebal menyelubungi bahagian atas katedral itu manakala nyalaan besar kelihatan antara dua menara locengnya menelan puncak menara dan keseluruhan atap, yang kemudian runtuh.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Susulan kebakaran itu, Presiden Emmanuel Macron, yang dijangka berucap pada 1800 GMT, menunda kemunculannya di kaca televisyen bagi mengumumkan beberapa langkah untuk mengekang pemberontakan sosial, menurut pejabat beliau tanpa memberikan butiran lanjut.

Macron, yang diiriingi Perdana Menteri Edouard Philippe, telah bergegas ke lokasi kejadian.

Pejabat pendakwa Paris telah memulakan siasatan bagi menentukan punca kebakaran.– BERNAMA