Pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) meneruskan pengairan untuk tanaman padi menggunakan sumber air daripada beberapa empangan MADA walaupun paras air semakin susut ekoran keadaan cuaca panas dan ketiadaan hujan di kawasan berkenaan sejak penghujung November lalu.
Pengurus Besar MADA, Datuk Fouzi Ali berkata langkah itu adalah bagi memastikan semua tanaman padi dapat dituai pada Februari dan Mac ini.
Beliau berkata kedudukan takungan empangan sehingga 8 pagi tadi adalah 44.59 peratus bagi Empangan Pedu, Empangan Muda (12.76 peratus) dan Empangan Ahning (61.15 peratus).
“Pelepasan harian sebanyak 113 meter padu air sesaat dari empangan sedang dibuat untuk tujuan pengairan tanaman padi serta kegunaan bekalan air mentah domestik,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini hari ini.
Katanya MADA dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga sedang melaksanakan Operasi Pembenihan Awan di kawasan Muda seperti yang telah dirancang.
“Operasi ini selama tiga hari dilaksanakan sejak 19 Januari lalu sehingga hari ini bergantung kepada kesediaan awan dan kelembapan yang sesuai,” kata Fouzi.
Beliau berkata operasi itu menyasarkan kawasan tadahan empangan serta dataran kawasan Muda dan jika berjaya, turunan (hujan) dijangkakan dapat meningkatkan paras takungan empangan dan membantu pengairan di kawasan sawah padi.
“Bekalan air untuk tujuan penanaman padi dijangka dapat dibekalkan mengikut Jadual Penanaman Padi dan Bekalan Air Musim 2/2019 iaitu sehingga 17 Februari ini.
“Apabila paras takungan air Empangan Pedu turun melepasi paras 27 peratus keutamaan pelepasan air akan diberikan kepada kegunaan domestik,” katanya.
— BERNAMA