Malaysia Dateline

Madius yakin masyarakat KDM sokong calon Warisan

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Datuk Wilfred Madius Tangau yakin masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM) akan memberi sokongan penuh kepada calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Sabtu ini.

Beliau yang juga kaum KDM, berkata masyarakat etnik berkenaan dilihat sudah bersedia memberi mandat kepada Karim sebagai ahli Parlimen baharu kawasan itu yang boleh membawa pembangunan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Kami (UPKO) sangat yakin orang KDM Kimanis akan menyokong dan mengundi calon Warisan,” kata Madius, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah ketika ditemui pemberita pada majlis program ramah mesra bersama ahli UPKO Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan di sini, semalam.

Dalam pada itu, Madius mengingatkan rakyat KDM di Kimanis supaya tidak terpedaya dengan isu dibangkitkan pembangkang terutama mengenai Pas Sementara Sabah (PSS) kerana mereka hanya mempolitikkan perkara berkenaan bagi mengelirukan rakyat.

Beliau, bagaimanapun, percaya masyarakat KDM Kimanis khususnya dalam kalangan ahli UPKO kini lebih memahami PSS selepas siri penerangan dibuat sepanjang tempoh berkempen bagi memberi gambaran jelas berhubung pelaksanaan pas itu.

“PSS bukan isu sama sekali, cuma mereka (rakyat) pada mulanya terkeliru (mengenai PSS). Namun, sekarang mereka sudah faham dan dengan itu bersedia untuk mengundi calon nombor dua (calon Warisan),” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick berkata penduduk Kimanis perlu memberi sokongan padu kepada Karim sekali gus memastikan kemenangan berpihak kepada calon Warisan itu pada pilihan raya kecil ini.

Naib Presiden UPKO itu berkata, sokongan dan mandat diberikan rakyat Kimanis penting bagi memastikan kesinambungan pembangunan di daerah berkenaan memandangkan Karim adalah calon parti kerajaan.

“Wakil rakyat kerajaan lebih mudah membawa pembangunan di kawasan diwakili kerana (mereka) diberikan peruntukan tahunan,” katanya.

Mengambil contoh kementeriannya pada tahun ini, Ewon berkata setiap wakil rakyat kerajaan mewakili DUN masing-masing akan diberi peruntukan RM1.1 juta untuk melaksana projek infrastruktur asas serta program sentuhan kasih.

Ewon percaya setiap ahli Parlimen kerajaan juga diberi sejumlah peruntukan bagi kawasan diwakili mereka untuk memastikan pembangunan dapat dilakukan demi kesejahteraan rakyat.

PRK Kimanis menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Karim dan calon Barisan Nasional Datuk Mohamad Alamin.– BERNAMA