Maduro hargai sokongan Turki, Rusia dan China

Maduro hargai sokongan Turki, Rusia dan China

Presiden Nicolas Maduro menzahirkan penghargaan kepada Turki, Rusia dan China pada Khamis atas sokongan mereka selepas pemimpin pembangkang Juan Guaido mengisytiharkan dirinya sebagai “presiden sementara,” lapor agensi berita Anadolu memetik status yang dimuat naik dalam akaun Twitter presiden Venezuela itu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Rusia, China, Turki dan beberapa kerajaan lain serta penduduk di seluruh dunia atas sokongan kuat mereka kepada kerajaan Venezuela yang ditubuhkan secara sah,” kata Maduro.

“Venezuela tidak bersendirian!” katanya.

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan telah menzahirkan solidariti dengan Maduro pada awal Khamis, sehari selepas Washington mengiktiraf Guaido sebagai pemimpin sementara Venezuela.

Presiden Rusia Vladimir Putin pula menyifatkan campur tangan asing dalam hal ehwal dalaman Venezuela sebagai satu pencabulan yang serius ke atas undang-undang antarabangsa.

China juga berkata ia menyokong “usaha” kerajaan Venezuela untuk menjamin kedaulatan negaranya.

Sementara itu, kumpulan pejuang Palestin Hamas dalam satu kenyataan mengutuk cubaan rampasan kuasa dan campur tangan terbuka AS dalam hal ehwal dalaman Venezuela.

Hamas turut memuji rakyat negara tersebut kerana menentang rancangan itu dan menyokong kerajaan Venezuela, yang menyokong isu Palestin tanpa syarat.

Anggota Kongres AS yang beragama Islam, Ihan Omar,  turut mengutuk cubaan rampasan kuasa itu.

“Satu rampasan kuasa yang disokong AS di Venezuela bukanlah penyelesaian kepada isu mendesak yang mereka hadapi. Usaha (Presiden Donald) Trump untuk menaikkan pemimpin pembangkang hanya akan mencetuskan keganasan dan seterusnya menjadikan keadaan di rantau itu lebih tidak stabil. Kita perlu menyokong Mexico, Uruguay dan usaha Vatican untuk mengadakan satu dialog aman,” katanya menerusi akaun Twitter.

Semakin banyak negara yang menyatakan sokongan kepada Guaido, pemimpin Perhimpunan Kebangsaan, yang mengisytiharkan dirinya sebagai presiden di bawah Perkara 333 dan 350 Perlembagaan Venezuela susulan tunjuk perasaan besar-besaran anti-kerajaan berhubung krisis ekonomi negara itu.

— BERNAMA