Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik (gambar) menafikan dakwaan lantikan penasihat khasnya Wan Saiful Wan Jan sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang baharu adalah lantikan politik.
Beliau berkata ramai telah menolak jawatan itu yang dahulunya dilihat berprestij kerana takut untuk menggalas tanggungjawab besar tersebut selain berdepan peminjam yang enggan membayar hutang.
Katanya pelantikan Wan Saiful merupakan satu pelan luar jangka untuk menyelamatkan keadaan dan membantu melunaskan janji kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung pinjaman PTPTN.
“Ketika kami cuba menghubungi beberapa pihak terutamanya mereka yang berlatar belakang ekonomi dan kewangan untuk memegang jawatan itu, ramai yang menolak kerana tidak sanggup menggalas tanggungjawab besar itu.
“Perbincangan dengan Wan Saiful, beliau terpanggil melakukan sesuatu untuk menunaikan janji-janji PH. Beliau sanggup mengambil risiko,” katanya dalam kenyataannya semalam seperti dipetik Bernama.
Maszlee turut menyifatkan lantikan itu sebagai satu bebanan kepada Wan Saiful kerana perlu merangka strategi untuk menyelesaikan isu berhubung pinjaman PTPTN.
PTPTN sebelum ini mengumumkan pelantikan Wan Saiful yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) sebagai pengerusi baharunya bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 18 Jun lalu.
Maszlee berkata Wan Saiful telah menghubungi beberapa rakan-rakan dalam bidang kewangan dan ekonomi untuk menangani isu pinjaman PTPTN.
Sementara itu, Maszlee berkata pihaknya telah membuat laporan polis berkaitan penyamaran individu tidak bertangungjawab sebagai Setiausaha Sulit Kanannya, Anuar Isa untuk mendapat maklumat mengenai sekolah-sekolah tertentu di Sarawak bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaran.
“Individu itu menghubungi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Miri dan meminta maklumat mengenai sekolah-sekolah yang memerlukan kerja penyelenggaran yang kononnya saya akan membuat lantikan terus kontraktor untuk kerja-kerja penyelengaraan berkenaan.
“Saya memandang serius terhadap apa yang telah terjadi kerana ini merupakan satu cubaan berani untuk melakukan penyelewengan kuasa menggunakan identiti pegawai saya. Saya berharap pihak polis akan melakukan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.