Malaysia Dateline

MAGERAN 2.0: Semoga YDPA tidak tersilap dalam buat pilihan

Media melaporkan bahawa Tun M mencadangkan supaya dibuat Mageran 2.0. Ini susulan tindakan YDPA yang telah memanggil ketua parti-parti politik ke Istana Negara semenjak semalam.

Tindakan YDPA memanggil ketua parti-parti ini mencetuskan spekulasi bahawa YDPA ingin menggantikan kemudi negara. Tindakan jelas rakyat negara ini yang tidak berpuashati dengan pengendalian SOP Covid-19 oleh kerajaan PN ini mungkin menjadi pencetus kepada tindakan YDPA ini. Rakyat sudah cemuh dengan SOP yang berubah-ubah semenjak 15 bulan yang lalu. Tambahan lagi, proklamasi darurat yang diwar-warkan sebagai darurat untuk menangani Covid-19 langsung tidak menunjukkan sebarang hasil kerana dalam tempoh darurat ini jumlah pesakit Covid-19 sudah berada di kemuncaknya dalam keadaan Covid-19 di UK dan USA sudah boleh dikatakan mereda. Harapan rakyat kepada Khairy Jamaludin selaku menteri bertanggungjawab dalam urusan vaksin juga semakin pudar.

Apatah lagi orang kanan Ketua Setiausaha PM sendiri membuat kenyataan berkaitan tidak perlunya dibuat Mageran. Ditambah lagi dengan warkah YB Marang yang tetiba muncul dari jendela Institut Jantung Negara. Ini semua menambahkan spekulasi mengenai pertukaran pengemudi kerajaan.

Beberapa orang teman rapat bertanyakan apakah boleh dibuat Mageran 2.0? Tun M jelas dalam sidang medianya mencadangkan supaya Mageran 2.0 dibuat. Presiden AMANAH telah membuat kenyataan tidak bersetuju dengan Mageran 2.0. Abang Non yang juga Pengerusi PH tidak menyatakan sebarang pendirian berkaitan Mageran melainkan rayuannya supaya darurat ditamatkan segera. Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil pula menyatakan ada gerakan kumpul SD dibuat untuk mendapat jawatan dalam kerajaan pusat.

Melihat kepada perkembangan yang berlaku ini adalah suatu yang janggal jika YDPA sekadar memanggil ketua parti-parti hanya untuk menjamu teh kepada mereka. Sudah semestinya ada agenda negara yang sedang diusahakan oleh YDPA.

Tiada apa yang menghalang YDPA untuk membuat Mageran dalam keadaan darurat telah diproklamasikan. Mageran adalah satu badan eksekutif yang menggantikan kabinet. Buat masa sekarang, kabinet yang sedia ada masih diberikan kuasa untuk menjalankan kerja-kerja eksekutif kerajaan.

Mageran sukar dibuat jika darurat belum berlaku kerana Mageran hanya wujud dalam keadaan darurat. Perlembagaan tidak membenarkan Mageran wujud dalam keadaan biasa. Jika YDPA memilih untuk membuat Mageran maka apa yang YDPA perlu lakukan hanya mendekrikan ordinan yang baru bagi memindahkan kuasa eksekutif kabinet kepada Mageran.

Siapakah pula yang akan menjadi ketua Mageran. Ini tentunya terpulang kepada budi-bicara YDPA. Ada yang bertanyakan bolehkah YDPA membuat Mageran tanpa nasihat kabinet sekarang. Mengikut skema Perlembagaan, dalam tempoh darurat ini kuasa YDPA adalah mutlak dan tidak tertakluk kepada Perkara 40 Perlembagaan. Kalau dibaca keseluruhan Perkara 150 itu nampaknya pandangan ini lebih utama daripada pandangan yang mengatakan YDPA masih perlu nasihat kepada kabinet.

Persoalan lebih pokok adakah Mageran 2.0 ini akan menyelesaikan masalah Covid-19 dan masalah kecelaruan SOP? Ini bergantung kepada siapakah pengemudi Mageran 2.0 itu. Jika orangnya tegas dan mempunyai hala tuju yang nyata tentu sekali hal Covid-19 ini boleh diselesaikan. Jika pun YDPA memilih Mageran 2.0 ini maka mestilah ada tempoh masa yang singkat (mungkin 3 bulan sahaja) kepada ketua Mageran 2.0 ini untuk menyelesaikan masalah Covid-19 ini. Mungkin mantan Menteri Kesihatan, YB Kuala Selangor calon yang sesuai untuk menjalankan tugasan ini berbanding calon politik yang lain memandang kepada kearifan beliau dalam ilmu kesihatan awam.

Jika YDPA tidak ingin melaksanakan Mageran 2.0 maka apa pilihan yang ada kepada YDPA. Adakah YDPA ingin membuat pertukaran Perdana Menteri sebagaimana pertukaran MB Perak pada tahun 2009? Ini juga boleh dilakukan jika YDPA berpuashati bahawa PM sekarang sudah hilang majoriti sokongan. Bagi tujuan ini YDPA mungkin perlu menjalankan interbiu ekslusif dengan setiap ahli parlimen sebagaimana Almarhum Raja Azlan Shah dahulunya berbuat demikian. Atau, kemungkinan YDPA hanya akan bergantung kepada surat akuan Ahli Parlimen sahaja. Pilihan ini mungkin juga dipilih jika YDPA berhasrat untuk menamatkan darurat.

Ada juga cadangan dibuat supaya Parlimen dipanggil untuk bersidang. Sebenarnya darurat bukan penghalang kepada Parlimen untuk bersidang. Namun, jika Parlimen telah bersidang YDPA sudah tidak berkuasa lagi untuk membuat ordinan. Kuasa legislatif akan diberikan semula kepada Parlimen.

Memanggil Parlimen untuk bersidang akan memberikan keyakinan baru kepada rakyat tetapi ini tidak bererti masalah Covid-19 boleh diselesaikan segera.

Nampaknya, YDPA mempunyai masa yang sukar sekarang untuk membuat pilihan yang tepat dan malang sekali beliau tidak punya banyak masa untuk berfikir. Kita doakan semoga YDPA tidak tersilap dalam membuat pilihannya. Semoga Allah memberikan petunjuk kepada baginda ke arah jalan yang tepat.