Mah Sing harap pengecualian duti setem diteruskan dalam Belanjawan 2020

Mah Sing harap pengecualian duti setem diteruskan dalam Belanjawan 2020

Mah Sing Group Bhd berharap kerajaan akan meneruskan pengecualian pembayaran duti setem kepada pembeli rumah pertama dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 11 Oktober ini.

Pengasas/Pengarah Urusan kumpulan Mah Sing Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, ini berikutan, insentif di bawah Kempen Pemilikan Rumah itu membantu merangsang industri dan mengurangkan hartanah tidak terjual.

“Kami berharap insentif tersebut akan diteruskan khususnya kepada pembeli rumah pertama bagi mengurangkan beban kewangan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT), Leong berharap kerajaan akan mempertimbang menghapuskan cukai itu sebagai dorongan untuk merancakkan pasaran sekunder berikutan ketika ini RPGT memberi kesan kepada sesiapa yang berhasrat menaik taraf rumah.

“Pelaksanaan RGPT terhadap hartanah yang dijual selepas lima tahun memberi kesan kepada segmen hartanah perumahan berharga tinggi,” katanya.

Pemaju perumahan itu juga berharap kerajaan akan mempertimbang untuk melonggarkan garis panduan pinjaman supaya lebih ramai pembeli rumah pertama dan kumpulan berpendapatan rendah dapat membuat pinjaman perumahan.

Turut dicadangkan termasuk meningkatkan nisbah liputan perkhidmatan hutang kepada antara 70 hingga 80 peratus berbanding 60 peratus pada masa ini bagi kumpulan berpendapatan rendah, mengurangkan sumbangan pekerja kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan melanjutkan tempoh pinjaman melebihi 45 tahun.

Mah Sing juga berharap harga minimum pemilikan rumah kepada warga asing dikurangkan kepada RM600,000 berbanding RM1 juta untuk mengurangkan masalah hartanah tidak terjual pada masa ini.– BERNAMA