MAHA 2018: Bernas pamer lebih 50 variasi beras

MAHA 2018: Bernas pamer lebih 50 variasi beras

Padiberas Nasional Berhad (Bernas) akan memperkenalkan lebih 50 variasi beras tempatan dan juga beras dari negara-negara serantau pada pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro (MAHA) 2018 bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps).

Bertemakan “Makanan Kita, Masa Depan Kita”, pameran dwi-tahunan ini akan diadakan selama 11 hari, mulai 22 Nov hingga 2 Dis ini.

Bernas dalam kenyataan berkata, antara jenis beras yang akan dipamerkan termasuklah 20 jenis beras tempatan dari Sabah dan Sarawak serta 30 jenis beras  dari Indonesia, Thailand, Kemboja, Myanmar, Vietnam, Korea Selatan, Jepun, India, Pakistan dan juga Bangladesh.

Ruang pameran ini juga akan dijadikan platform perkongsian maklumat menarik mengenai tugas dan tanggungjawab Bernas dalam membangunkan industri padi dan beras negara seperti Skim Pengilang Bumiputera, Pengurusan Pengagihan Subsidi Harga Padi, Pemutuan Padi dan maklumat beras plastik.

Pelbagai aktiviti menarik seperti ‘Wheel of Possibility,’ pertandingan Badang dan juga pertandingan menganggar berat beras akan turut diadakan di ruang pameran ini.

Tambah menarik, hadiah bekalan beras selama setahun juga bakal dibawa pulang oleh pengunjung yang bertuah.

Pameran ini juga akan dimeriahkan dengan penyediaan juadah bubur lambuk yang amat sinonim dengan Bernas ketika pameran MAHA dijalankan di Laman Padi.

Menariknya tahun ini, bubur lambuk yang disediakan akan menggunakan pelbagai jenis beras seperti beras merah, beras putih tempatan, beras perang, beras wangi dan lain-lain lagi.

Tidak hanya tertumpu kepada juadah bubur lambuk, Bernas juga akan menyediakan beberapa jenis makanan lain yang berasaskan beras seperti putu mayam, inang-inang, pongal dan juga bubur congee kepada pengunjung di Laman Padi.

 

–BERNAMA