MAHA 2018 labuh tirai, 26 MoU bernilai RM2.8 bilion, 3.2 juta pengunjung

MAHA 2018 labuh tirai, 26 MoU bernilai RM2.8 bilion, 3.2 juta pengunjung
Dr Wan Azizah, Salahudin dan pegawai kanan MAHA 2018 menunjukkan tanda bagus selepas ia ditutup dengan rasmi hari ini.

26 memorandum persefahaman (MoU) yang bernilai RM2.8 bilion telah ditandatangani sepanjang MAHA 2018, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahudin Ayub.

Pengumuman ini dibuat beliau ketika MAHA 2018 melabuhkan tirai petang ini, 2 Disember 2018 selepas 10 hari berlangsung.

“Sukacita dimaklumkan sebanyak 26 MoU telah ditandatangani dengan nilai RM 2.8 Billion.

“Saya juga merasa amat gembira untuk menyatakan sepanjang tempoh berlangsungnya #MAHA2018, seramai lebih 3.2 juta orang telah direkodkan mengunjungi pameran kali ini.

“Lebih membanggakan lagi, kita telah berjaya mencipta sebanyak 2,083 potensi perniagaan melalui program padanan perniagaan,” katanya.

Beliau juga memaklumkan, jualan semasa di MAHA 2018 adalah sebanyak RM150 juta.

“Ia merupakan pencapaian yang melebihi sasaran kita iaitu melebihi 100%,” kata Salahudin.

Dalam pada itu, Salahudin juga berkata, segala kritikan, teguran mengenai MAHA 2018 dicatat beliau dan akan diperbaiki pada masa akan datang.

Loading...

“Tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat dalam penganjuran #MAHA2018 ini,” katanya.

Majlis penutup #MAHA2018 yang disempurnakan oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri.

Seperti biasa dalam penganjuran MAHA sebelum ini, terdapat Pavilion Negeri yang akan diumumkan sebagai pemenang. Tempat pertama jatuh kepada Negeri Perak, diikuti kedua Negeri Teranganu dan ketiga Negeri Johor.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada YAB TPM yang berkelapangan pada hari ini untuk menyempurnakan penutup MAHA.

“Saya sendiri begitu gementar hingga ke saat ini bersama YB Sim Tze Tzin dan KSU kerana ini merupakan ujian utama bagi kami, ujian menempuh cabaran pameran bertaraf antarabangsa.

“Saya percaya dengan sambutan, nilai jualan, saya mengucapkan terima kasih kerana ini kejayaan kita bersama, warga Wisma Tani, Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani serta para rakan strategik,”katanya.

Beliau juga memberitahu, bidang kulinari telah mendapat perhatian, menarik minat rakyat dalam MAHA kali ini.

“Saya percaya bidang kulinari akan dapat mengangkat martabat Malaysia,” katanya.

Untuk makluman semua, seramai 1000 usahawan dari seluruh Malaysia dan sejumlah 42 peserta dari luar negara melibatkan sebanyak 12 buah negara telah mengambil bahagian dalam MAHA2018 ini.