Malaysia Dateline

MAHA 2018 lanjut masa operasi beberapa pameran, tarikan

Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2018 (MAHA 2018) melanjutkan masa operasi beberapa tapak pameran dan tarikan dari 10 pagi hingga 10 malam mulai hari ini sehingga 2 Dis.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan berkata ini berikutan sambutan pengunjung yang menggalakkan pada pameran yang bermula 22 Nov lalu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini.

Beliau berkata tarikan yang dibuka sehingga 10 malam itu ialah Dewan Pameran (Hall) A dan C, Dewan Agrotrade 1 dan 2, Laman Tiba 1 dan 2, Laman Ternakan, Laman Florikultur, Mak Cun Village, Lola Baba dan Empayar Makanan.

“Bagi Pavilion Negeri, Laman Perikanan, Laman Padi, Laman Sayur, Laman Herba, Laman Teknologi dan Laman Nanas, ia kekal beroperasi 10 pagi hingga 7 malam,” katanya kepada pemberita di pusat media MAHA 2018 hari ini.

Beliau juga berkata operasi perkhidmatan tram turut dilanjutkan hingga 10 malam bagi kemudahan pengunjung mulai hari ini.

MAHA 2018 bertema ‘Makanan Kita Masa Depan Kita’ itu menyasarkan lebih 3.5 juta pengunjung dari dalam dan luar negara.

Sebanyak 13 pavilion negeri pada acara itu menampilkan identiti, kebudayaan, pameran dan juadah makanan negeri yang dapat dinikmati pengunjung, dan ia turut membuka 1,500 khemah jualan.

Antara tarikan MAHA 2018 ialah 501 menu juadah popular dari semua negeri, produk asas tani, buah-buahan dan sayur-sayuran, anak pokok, bunga-bungaan, ikan dan makanan laut segar.

— BERNAMA