Malaysia Dateline

Mahasiswa AMANAH anggap menteri perbudak penuntut

Tindakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menganjurkan aktiviti Tiktok sepanjang musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diselar bukan sahaja tidak menghormati intelek pelajar bahkan turut dianggap ‘memperbudak-budakkan’ mahasiswa.

Pengerusi Mahasiswa AMANAH Nasional, Amin Mubarak, berkata kementerian seharusnya mengambil peranan dalam menyelesaikan isu dasar mahasiswa dan universiti yang terkesan akibat wabak pandemik Covid-19.

Menurutnya, KPT lebih baik menimbangkan untuk menyediakan perancangan jangka masa panjang berhubung pembelajaran atas talian.

“Kami mengambil maklum, masih ada lagi kelompongan dalam dasar yang masih belum dijelaskan oleh KPT selaku payung kepada institusi pengajian tinggi.

“Ia termasuklah status pelajar yang mengambil latihan industri, masalah kesihatan mental mahasiswa yang semakin meruncing ketika wabak ini, dan akses internet yang terbatas bagi mahasiswa yang kurang berkemampuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad mendapat kecaman hebat warganet selepas memuatnaik satu ciapan mempromosikan peraduan TikTok yang dianjurkannya.

Lebih mengejutkan ramai apabila beliau turut berkongsi satu video TikTok yang menampilkan dirinya bersama-sama dua orang influencer iaitu Noreen dan Iskandar Rahman.

Namun dari hasil carian Malaysia Dateline, video berdurasi 45 saat yang dimuatnaik itu bagaimanapun telah dipadam dari akaun Twitter rasmi Menteri terbabit.

“Walaupun ciapan tersebut telah dibuang oleh pihak menteri di media sosial, kami merasakan bahawa perancangan untuk menganjurkan aktiviti ini menunjukkan menteri KPT tidak menghormati mntelek dan memperbudak-budakkan mahasiswa,” katanya lagi.

Amin turut berkata, kegagalan Menteri KPT memberi aspirasi kepada mahasiswa jelas menunjukkan antara kelemahan terbesar di dalam Kerajaan Perikatan Nasional.

Sementara itu, Amin menegaskan, Inisiatif Malaysia Membaca yang pernah dibawa bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH), seharusnya diperkasakan semula.

Pada masa sama, Amin menyeru agar mahasiswa terus memanfaatkan cuti dengan memperkasakan kemahiran dalam setiap aspek melalui pembacaan disamping meneroka ilmu dan input baharu.