Malaysia Dateline

Mahasiswa AMANAH bantah solusi dua negara Palestin-Israel

Cadangan pemimpin Malaysia berhubung ‘two state solution’ bagi menyelesaikan konflik antara Israel dan Palestin dikritik sebagai satu idea yang gagal dan tidak adil bagi rakyat Palestin.

Mahasiswa AMANAH dalam kenyataannya berkata, cadangan itu tidak lain hanyalah retorik politik dan agenda untuk mengiktiraf negara haram Israel.

Ini kerana katanya, seluruh dunia sedar bahawa Israel adalah penjajah, bahkan negaranya ditubuhkan secara haram dengan merampas hak dan tanah air warga Palestin.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya mana-mana pihak yang mengiktiraf kewujudan kerajaan haram Israel yang terkenal dengan sikap melanggar perjanjian damai, membunuh warga yang tidak bersalah termasuk wanita dan kanak-kanak.

“Seharusnya negara pengganas ini dilenyapkan terus dari muka bumi bagi menjamin keamanan global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahasiswa AMANAH juga mendesak kerajaan Amerika Syarikat yang merupakan pendokong kuat regim Israel agar mengarahkan regim zionis itu menghentikan penjajahan serta mengembalikan semula hak rakyat Palestin yang dirampas.

Mereka juga menyeru agar seluruh pemimpin dunia Islam bersatu, bersuara dengan lebih tegas dan mengambil tindakan yang proaktif untuk mengembalikan hak serta keadilan rakyat Palestin.

“Diamnya umat Islam terhadap isu Palestin hanyalah menjadi asbab kepada penindasan saudara kita di sana,” katanya lagi.