Malaysia Dateline

Mahasiswa dah boleh mula mohon tablet bermula esok, ini spesifikasi minimum tablet siswa patut tahu

Mahasiswa dah boleh mula mohon tablet bermula esok, ini spesifikasi minimum tablet. Bermula esok, mahasiswa yang sedang melanjutkan pelajaran boleh membuat permohonan untuk mendapatkan peranti percuma berupa tablet melalui program PerantiSiswa yang dijanjikan kerajaan dalam Belanjawan 2022.

Pendaftaran untuk program PerantiSiswa akan mula dibuka pada jam 8 pagi, 15 April 2022  melalui laman web PerantiSiswa.

Melalui program ini, mahasiswa dari golongan B40 boleh memohon untuk mendapatkan sebuah tablet yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan pembelajaran sepanjang waktu mereka masih lagi dalam tempoh pengajian.

Bagaimanapun menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM), Tan Sri Annuar Musa, golongan bukan B40 juga layak memohon membabitkan mereka yang berhadapan bencana alam dan banjir menyebabkan peranti mereka rosak atau musnah.

Bagi golongan B40 yang sudah memiliki tablet pula, mereka tidak digalakkan untuk memohon kerana mungkin sebahagiannya sudah menerima bantuan dari pihak luar kecuali peranti mereka rosak.

Dalam pada itu, Annuar ketika ditemui media dalam majlis Prapelancaran PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Multimedia hari ini berkata, inisiatif PerantiSiswa ini menggunakan Konsep Guna Pakai selama tempoh pengajian bertujuan untuk mengelakkan penyalahgunaan peranti seperti menjual atau memberikannya kepada orang lain selain memastikan hanya mahasiswa yang benar-benar memerlukan mendapat manfaatnya.

Spesifikasi tablet

Menurut Annuar Musa, spesifikasi tablet ini menawarkan kemampuan optimum bagi kesinambungan dan juga aplikasi asas berkaitan pendidikan.

Peranti tersebut bukanlah peranti yang dibina untuk keperluan spesifik teknikal program pengajian tertentu yang memerlukan spesifikasi tinggi komputer seperti keperluan kejuruteraan, pengaturcaraan ataupun program multimedia kreatif.

  • Skrin 10.1” Paparan HD, 1280×800
  • Android OS 10 dan ke atas
  • 4G LTE (menyokong frekuensi LTE telco di Malaysia)
  • Minimum RAM 4GB
  • Minimum storan 64GB
  • Slot SD Micro sehingga 256GB
  • Kamera hadapan minimum 2MP
  • Kamera belakang minimum 5MP
  • Pembesar suara terbina dalam dan bicu audio 3.5mm untuk
    headset
  • Bluetooth 4.1 dan ke atas
  • WiFi 2.4GHz & 5Ghz
  • Bateri minimum 4500 mAh
  • Pengecas USB disertakan
  • Papan kekunci bluetooth disertakan
  • Pen stylus disertakan.

Untuk rekod, program PerantiSiswa ini dijangka akan membantu seramai 350,000 para pelajar yang menuntut di peringkat pengajian Diploma, Diploma Lanjutan, Ijazah Sarjana Muda daripada institusi pengajian tinggi awam, politeknik, kolej komuniti dan juga institusi pengajian tinggi swasta yang berada dibawah kendalian Kementerian Pengajian Tinggi.

Baca juga: DAP umum senarai jawatankuasa penuh bagi penggal 2022-2025

Baca juga: Ngeri! Puluhan larva lalat dikeluarkan daripada mata