Mahasiswa gesa Kerajaan mansuhkan Auku

Mahasiswa  gesa Kerajaan mansuhkan Auku

Mahasiswa Pertubuhan Isra Malaysia (Isra) telah menyerahkan memorandum kepada wakil kerajaan Pakatan Harapan (PH)  semalam, mendesak kerajaan merangka tindakan memberi kebebasan akademik kepada universiti dan Akta universiti dan Kolej Universiti (Auku) dimansuhkan.

Pengerusi Biro Politik Mahasiswa Isra Syed Syaqir Syed Redzuan berkata, Memorandum ini juga menggesa agar kepimpinan PH mengambil serius segala perkara yang telah dijanjikan di dalam Manifesto Pakatan Harapan sebelum ini, khususnya janji-janji terhadap mahasiswa.

“Memorandum ini antara lain ingin mengulangi tuntutan mahasiswa agar Kerajaan segera merangka tindakan bagi memberi kebebasan akademik kepada Universiti, disamping mengulangi desakan agar AUKU dimansuhkan dalam kadar segera.

“Hasil perbincangan selama 30 minit bersama YB. Nik Nazmi dan YB Akmal Nasir, mereka memberi jaminan bahawa memorandum ini akan dibawa dan dibentangkan dalam persidangan Parlimen untuk diberi perhatian oleh YAB. Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan,” ujarnya.

Memorandum tiga mukasurat itu diserahkan oleh wakil Mahasiswa ISRA, Syed Syakir Adhli kepada wakil Ahli Parlimen Pakatan Harapan iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Setiawangsa merangkap Ketua Pemuda PH dan Ahli Prlimen Johor Baharu Akmal Nasir di perkarangan pintu masuk utama Parlimen semalam.

Menurutnya lagi, selain mengutarakan isu kebebasan akademik dan pemansuhan AUKU, memorandum ini turut menggariskan tiga tuntutan utama untuk diberi perhatian oleh Kerajaan PH.

“Tuntutan tersebut adalah Kerajaan perlu membentangkan dengan jelas pelan pelaksanaan ke arah pemansuhan AUKU, Kerajaan juga perlu melibatkan wakil-wakil mahasiswa dalam agenda pemansuhan AUKU dan Kerajaan perlu melibatkan mahasiswa dalam penggubalan sebarang akta bagi menggantikan AUKU.

“Mahasiswa sentiasa mengarapkan agar Kerajaan baru ini sentiasa komited dalam melaksanakan janji-janji yang telah dibuat semasa Pilihan Raya Umum yang lalu. Sebagai mahasiswa, kami menegaskan bahawa kami tidak akan berkompromi sekiranya Kerajaan baru ini tidak serius dalam melaksanakan agenda kebebasan akademik.

“Mahasiswa akan terus bersuara, mendesak dan mengambil sebarang tindakan yang perlu bagi meneruskan perjuangan kebebasan akademik ini,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.