Mahasiswa gesa PM bersuara isu 1MDB, IPIC

Mahasiswa gesa PM bersuara isu 1MDB, IPIC

Mahasiswa Amanah mengajak seluruh gerakan mahasiswa lain untuk terus bersuara mengenai isu 1MDB ini sehingga semua pihak yang terlibat dihadapkan ke muka pengadilan. 

Fadhli Umar Aminolhuda berkata, walaupun kerajaan berkata siasatan terhadap 1MDB telah selesai namun timbul pendedahan baharu bahawa kerajaan Malaysia bertanggungjawab untuk membayar hutang beserta interest kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dalam jumlah hampir 25 billion USD.

“Sebelum ini heboh diperkatakan bahawa siasatan terhadap 1MDB telah selesai. Dengan melihat pada perkembangan ini, Mahasiswa Amanah dengan ini mendesak sekeras-kerasnya supaya siasatan terhadap 1MDB ini diteruskan dan disiasat hingga ke lubang cacing.

“Jika isu Forex yang sudah hampir 20 tahun berlalu pun disiasat dengan begitu mendalam, bagi kami, siasatan terhadap 1MDB ini perlulah lebih mendalam dan teliti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kegagalan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menjelaskan isu ini membuktikan bahawa beliau telah gagal dan beliau perlu bertanggungjawab dalam menanggung segala kerugian negara ini.

“Bayangkan sahaja bagaimana dengan jumlah 25 billion USD ini pelbagai manfaat dapat dinikmati oleh rakyat. Sudah tentu peruntukan pendidikan yang mengalami pemotongan 1.45 billion ringgit tidak dipotong bahkan dinaikkan.

“2,000 pensyarah sudah pasti tidak dibuang atau diberhentikan. Biasiswa pelajar juga pasti ditingkatkan,” katanya.

Dalam perkembangan terbaru, 1MDB berdasarkan satu keputusan berbentuk ‘Arbitration’ oleh London Courts of Arbitration melalui satu surat yang dikeluarkan oleh IPIC atau International Petroleum Investment Company telah mendedahkan bagaimana 1MDB dan Kerajaan Malaysia bertanggungjawab untuk membayar hutang beserta interest kepada mereka dalam jumlah hampir 25 billion USD.

TAGS