Malaysia Dateline

Mahasiswa kesal tiada insentif untuk mereka dalam Belanjawan 21

Walaupun pendidikan mendapat peratusan tertinggi dalam Belanjawan 21 tetapi golongan mahasiswa antara pihak yang kecewa dengannya kerana mereka terasa diketepikan.

“Tiada sebarang insentif mahupun bantuan khas buat mahasiswa daripada keseluruhan peruntukan RM14.4 billion kepada Kementerian Pengajian Tinggi,” kata Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dalam satu kenyataan mereka.

Menurut presidennya, Ahmad Farhan Rosli, dalam suasana sukar mahasiswa berhadapan wabak COVID-19, kerajaan wajar menimbang untuk menyediakan bantuan one-off bernilai RM300 melalui Bantuan Pelajar Pendidikan Tinggi (BPPT-Kad Siswa) yang dihentikan pada 2020.

Berdasarkan rekod lalu, peruntukan bantuan BPPT telah dikurangkan dengan suatu jumlah yang sangat besar iaitu sebanyak RM300 juta pada 2018 kepada RM120 juta pada 2019 dan sangat mendukacitakan apabila tiada langsung peruntukan sedemikian untuk tahun 2020 dan 2021, katanya.

“PKPIM turut mempersoalkan pengurangan peruntukan Biasiswa Pendidikan Tinggi dalam belanjawan kali ini daripada RM170,000,000 pada 2020 kepada RM161,500,000 pada 2021.

“Ini sekaligus bakal menimbulkan keresahan dan kesulitan mahasiswa yang genting dalam situasi ekonomi yang tidak menentu kini,” kata beliau.

Sebagai penegasan, katanya, PKPIM mengharapkan agar belanjawan ini disemak semula bagi memastikan hak, keperluan dan kebajikan mahasiswa tidak dipinggirkan dalam keadaan majoriti daripada golongan ini berhadapan dengan masalah ekonomi yang sangat meruncingkan.