Malaysia Dateline

Mahasiswa Lapar: Harus ditangani kerajaan negeri sepantas mungkin

Inisiatif segera oleh kerajaan negeri Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan bagi menyediakan beberapa kaedah membantu pelajar negeri di menara gading daripada terus mengikat perut dalam mengawal perbelanjaan adalah satu tindakan bijak.

Ketua AMANAH Kawasan Permatang Pauh, Dr Zaidi Zakaria berterima kasih kepada Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang begitu prihatin terhadap pelajar B40 Universiti Malaya yang didakwa menghadapi masalah sehingga terpaksa mengikat perut dalam mengawal perbelanjaan.

Tindakan segera Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang kemudiannya merangka peruntukan khusus bagi menyelesaikan isu mahasiswa universiti awam amat dihargai.

Jelasnya lagi inisiatif melalui ‘Food Bank Malaysia’ (FBM) sepertimana yang diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Saifuddin NAsution Ismail bagi memastikan tiada pelajar yang terpaksa menahan lapar dalam mengejar ilmu juga suatu usaha¬† murni yang harus diberi pujian.

“KPDNHEP juga akan mengembangkan inisiatif FBM ke IPTA seluruh negara bagi menyalurkan bantuan makanan kepada mahasiswa dan mahasiswi yang memerlukan.

“Tindakan bersepadu tersebut membuktikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) amat peduli kepada mahasiswa seluruh negara.

“Walau bagaimana pun melihat kepada perkembangan sedia ada isu ‘mahasiswa lapar’ tidak sepatutnya berlaku kini,”jarnya ketika diminta mengulas isu mahasiswa berlapar yang dilaporkan baru-baru ini.

Pendidikan percuma

Kata Dr Zaidi lagi, secara logiknya tidak dapat dinafikan ianya berkait rapat dengan pelaksanaan PTPTN yang masih menghantui pemikiran dikalangan pelajar dan juga waris mereka.

Oleh kerana itu tegasnya, kerajaan PH wajar merangka Pelan Pendidikan Nasional yang menuju kearah pendidikan percuma.

“Dalam kerangka dasar pendidikan percuma ini sekaligus ia perlu merangkumi segala aspek perbelanjaan kos sara hidup mahasiswa.

“Disamping itu ia turut melibatkan yuran pendidikan yang ditanggung oleh kerajaan.

“Pelan ini mampu untuk membawa satu dimensi baru dimana para mahasiswa tidak lagi dibebankan dengan pelbagai kos yang menyulitkan mereka ketika berada di menara gading, ” tambahnya.

Namun begitu katanya, dalam keadaan negara sedang bergelut dengan usaha pemulihan ekonomi yang terjejas teruk semasa pemerintahan kerajaan terdahulu, ianya tidak boleh dilaksanakan sekarang.

Sejajar dengan itu sarannya, amat diharapkan impian kearah pendidikan percuma akan menjadi realiti dibawah kepimpinan kerajaan PH.